November 26, 2012

Saya dan ayah

Bismillahi walhamdulillah...

Tiba-tiba teringat ayah,malam tadi mimpi ayah, semua ada di rumah - mak, ayah, angah, alang, andak, aus, termasuk awal. 28 November ni anniversary ayah dan mak,selalunya akan call mereka untuk wish. Tapi rasanya kali ni dan akan datang tak nak wish apa2 lagi... taknak mak sedih pula teringat ayah..

Hidup dalam kenangan.

Bukan nak hidup dalam kenangan,life must go on, i know that. saja nak coretkan beberapa kenangan bersama ayah,mungkin boleh jadi inspirasi buat diri sendiri..

***********************

Masa kecil,ayah sangat garang,kalau nak duduk manja2 dengan ayah rasanya memang jarang, tapi aus memang manja dengan ayah,mungkin sebab bongsu. kami 4 beradik pergi balik sekolah jalan kaki, tapi bila aus naik darjah 1, kami semua merasa naik kete balik sekolah sebab ayah ambil,hee.

sebelum ayah berhenti merokok dulu, saya selalu jadi tukang beli rokok untuk ayah, Dunhill 20,saya masih ingt lagi.. setiap kali serahkan rokk yang dibeli pada ayah, saya pasti akan sertakan pesanan - "ayah, merokok membahayakan kesihatan", dan ayah hanya akan tersenyum mendengar kata-kata saya.

Ayah sangat pantang kalau anak-anaknya atau saudara-maranya diperlekehkan atau dibuli. pernah satu hari saya membeli aiskrim, penjual aiskrim yg menaiki motor memulangkan baki dengan duit 1 sen. saya yang masih tidak tahu apa-apa hanya menyerahkan duit 1sen itu pada ayah. ayah segera pergi mengejar si penjual aiskrim, memarahinya dan meminta dia memulangkan baki sebenar.

Ayah sekolah tak habis pun, tapi ayah sangat menitik beratkan pelajaran kami adik beradik. selalunya ayah akan bagi galakan bila kami dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. ingat lagi kalau dapat nombor 1, ayah akan bagi RM30, kalau dapat  nombor 2 ayah akan bagi RM20, kalau dapat nombor 3, ayah akan bagi RM10. Kalau dapat markah 100 pula akan dapat RM1. ayah akan sangt bangga dan gembira bila kami adik beradik dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar. cita-cita ayah nak kami 5 beradik jejak kaki ke Universiti...

Kami bukan orang senang,ayah tidak ada menyimpan harta. tapi satu prinsip yang ayah pegang, dia tidak akan biarkan keluarganya susah. Biar dia berhutang, tapi dia akan memastikan keperluan kami cukup. Dia sentiasa berikir ke hadapan,dia sentiasa memikirkan, seandainya dia tiada nanti, sekurang-kurangnya kami yang tinggal tidak susah. sebab itu ayah menyediakan rumah dan kereta.

"Rumah ni ayah tak letak nama siapa2, siapa dah kahwin kena keluar. ayah tinggalkan rumah ni untuk siapa antara anak2 ayah yang mungkin kurang bernasib baik," itu yang ayah selalu ulang setiap klai kami 5 beradik balik berkumpul di rumah.

Ayah sangat pantang kalau kami tidak menghormatinya, meninggikan suara terhadapnya dan membantah kata-katanya. Ayah seorang yang keras, dan bila dilawan keras,dia tidak akan mengalah. dari situ saya belajar melawan kekerasan dengan kelembutan.

Asal saya melibatkan diri dengan bidang pendidikan aawal kanak-kanak, ayah sangat tidak bersetuju. ayah sangat menentang. Padanya, kerjaya ini susah dan tiada masa depan.

"aku hantar belajar tinggi2, kau nak keje jaga anak orang. baiklah kau duduk rumah jaga anak orang di rumah ni aje, boleh dapat 1000,"

itulah yang ayah selalu ulang. awal saya terlibat dengan bidang ini, kerap juga saya berendam air mata, sebab saya sangat mengharapkan redha mak dan ayah dalam setiap apa yang saya lakukan. kalau ayah begitu menentang, mana mungkin saya boleh tenang untuk meneruskan cita-cita saya.

jadi saya letakkan satu target, saya mohon sungguh2  kepada Allah, seandainya bidang ini baik untuk saya, baik untuk kehidupan saya dunia dan akhirat, maka permudahkan, dan lembutkanlah hati ayah. dan saya meletakkan tempoh. seandainya dalam tempoh tersebut ayah masih berkeras tidak bersetuju dengan kerjaya saya, maka saya tidak akan teruskan... Alhamdulillah akhirnya hati ayah lunak juga. ayah yang sentiasa bertanya tentang perkembangan tadika. saya juga akan sentiasa berkongsikan cerita tentang tadika dengan ayah. saya bersyukur sebab sempat melihat ayah redha dengan kerjaya ini sebelum ayah pergi.

Sepanjang tempoh saya cuba memenangi hati ayah, memang sakit rasanya.. marah ayah, suara ayah, kedinginan ayah dan segala bentuk protes ayah terhadap  saya, saya telan dengan senyuman.. sebab dia adalah ayah... adakala dia mungkin keterlaluan,adakala dia mungkin salah, tapi prinsip saya, itu bukan tiket yang membenarkan saya melawannya, memprotesnya walaupun hanya dalam hati. kerana dia adalah ayah.. saya sayangkan dia, dia antara jalan utama saya ke syurga..

akhirnya, saat usia ayah mencecah 50an, panas baran ayah mulai surut, ayah jadi lebih mudah sensitif, cepat tersentuh, mudah mengalirkan air mata, tidak segan menyatakan maaf walaupun kepada anak sendiri, dan lebih mudah mempamerkan kasih sayangnya.

pada akhir usia ayah, saya selalu memerhatikan ayah. ayah selalu termenung, merenung jauh, entah apa yang difikirkan, mungkin risau memikirkan ragam kami adik beradik. dan setiap kali pulang, saya akan pastikan saya berada di sisi ayah. menunggunya bila dia pulang malam. Dia selalu menyatakan dirinya yang tidak sebaik mana, tapi dia ingin kami menjadi lebih baik daripadanya..

Saya rindukan ayah.semoga saya mampu  menjadi anak soleh yang boleh membantu ayah di sana...


September 17, 2012

Bahaya Lidah vs Keluarga Sakinah

Bismillahi walhamdulillah...

"woi,takde otak ke?"

"kecik-kecik taknak mampus, da besar menyusahkan orang"

"bodoh tak boleh di ajar"

"kau jangan nak kurang ajar"

Banyak lagi ayat-ayat kasar dan kurang sopan yang boleh di reka, atau yang pernah kita dengar-mungkin?

Semuanya melibatkan kolaborasi penggunaan tiga anggota penting - hati, akal, lidah. Dan lidah akhirnya yang mengeluarkan ayat dalam bentuk nyata.


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan yang ringkas dari nabi SAW,tapi sangat mendalam. Tidak meletakkan keutamaan berkata baik kepada siapa,bermakna kita harus mengaplikasikannya terhadap siapapun di sekeliling kita samada keluarga,  saudara mara, guru, rakan-rakan,jiran tetangga, penjual ikan, pekedai, etc.

Cuma saya tertarik untuk mengaitkannya dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Keluarga merupakan unit asas masyarakat.Justeru keluarga yang porak peranda, saling menyakiti, tidak saling menghormati ~ tidak akan mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni, bagaimana pula jika ingin bersama-sama ke syurga kelak...

Saya masih ingat ketika saya masih kecil, saya juga biasa bercakap kasar,apatah lagi ketika marah atau bergaduh dengan adik beradik, lidah dengan laju akan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Telinga saya juga biasa menadah hamburan kata-kata yang tidak enak.

Namun, kesannya sangat berbeza apabila hamburan kata-kata yang kurang enak itu saya terima tatkala saya masih berada pada fasa kanak-kanak sehingga remaja dengan kata-kata itu saya terima tatkala berada pada fasa dewasa. Apabila masih kanak-kanak, kita dengan mudah akan memaafkan dan melupakan walaupun tiada ungkapan maaf secara 'official'. Hari ini bergaduh, esok boleh bermain bersama kembali. Tetapi apabila meningkat dewasa, kita mula tahu apa itu harga diri, kita mula tahu apa itu terasa hati. Sehingga kata-kata itu membekas dalam hati dan mengubah persepsi. Atau mungkin juga mampu mengubah peribadi, daripada seorang yang ramah menjadi dingin. Daripada seorang yang lembut menjadi kasar,daripada seorang yang mengambil berat kepada tidak ambil peduli.

Bahaya lidah ini akhirnya membawa kerenggangan kepada sebuah ikatan kekeluargaan. Masing-masing dengan pendapat dan cara fikir sendiri. Masing-masing menegakkan 'aku betul,dia yang salah', 'aku besar, dia kecil,dia yang perlu beralah, 'ini tanggungjawab dia, bukan tanggungjawab aku' dan seribu satu macam bentuk keakuan lagi..

Kadang-kadang kita mengambil hujah bersikap ' defensive'.

"Da dia yang mula dulu. kalo dia tak cakap macam tu, aku pun tak balas,"

' aku tak kacau orang.tapi kalo dia start dulu,memang kena la'.

'dia tu lagi teruk dari aku'.

'diapun tak reti hormat orang tua,apasal aku kena hormat dengan dia'

'ingat dia lagi tua, semua dia buat tu betul?'

'Da lama aku tahan sabar ngan perangai dia, makin aku diam,makin menjadi-jadi'

Sehingga kita lupa 'dia' itu mungkin adalah abang atau kakak kita. Dia itu mungkin ibu saudara atau bapa saudara kita. Dia itu mungkin adalah adik kandung kita. Dia itu mungkin adalah ibu atau ayah kita!

Rasa marah itu tidak salah. Memang perlu apatah lagi bila kena pada tempatnya. Cuma cara kita menyuarakan kemarahan itu yang perlu di perhatikan. Jangan kemarahan itu menyebabkan kita hilang adab dan sopan. Jangan kemarahan itu menyebabkan hilang rasa hormat.

'Pause button'

Perlu ada kemahiran untuk menekan butang ini tatkala sedang amarah. Adalah lebih baik menghentikan perdebatan dalam keadaan marah. Tunggu reda dan emosi dalam keadaan stabil,barulah memulakan penjelasan atau perbincangan. Logiknya, apabila kita atau lawan bicara kita dalam keadaan marah dan emosi, tiada guna penjelasan di lakukan pada ketika itu.

Kita mungkin seorang yang tenang, tidak emosi,tidak berhasrat untuk memanjangkan perdebatan, hanya ingin menjelaskan keadaan. Tapi seandainya lawan bicara kita ketika itu kelihatan emosi dan kurang rasional, jangan di teruskan penjelasan tersebut. Hentikan dan langsung berlalu dari situ. Tunggu masa yang sesuai untuk penjelasan.

Mengalah tidak bererti kalah. Dan saya sangat yakin, sebuah kekerasan tidak akan mampu mengubah kekerasan yang lain. Jadilah air,walaupun ia mengambil masa yang sangat lama. Kerana air akhirnya akan mampu melekukkan batu yang keras. Kerana kita bukan berhadapan dengan golongan kuffar yang memusuhi islam,tetapi kita berhadapan dengan saudara muslim yang punya pertalian darah dengan kita, yang kita harapkan akan kembali berkumpul bersama di syurga.

Tahanlah lidah anda!

“ Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang sangat sengit dalam bertengkar.” 
(riwayat Bukhari, Muslim, Turmizi dan Nasa’i)

August 30, 2012

Sekitar Pernikahan Angah(^_^)..

Bismillahi walhamdulillah... Alhamdulillah,selesai sudah urusan pernikahan Angah, dengan rasminya kini saya telah mempunyai seorang kakak ipar,hehe. Sepanjang perjalanan ke sana, agak risau sebenarnya, risaukan kesihatan mak,mungkin sebab di bayangi kenangan bersama ayah.Alhamdulillah walaupun kerap di serang asma,mak tetap ok sepanjang kami berada di Kelantan hingga kembali ke Shah Alam.Dan yang pentingnya, dalam keletihan dan kerisauan, mak tetap nampak ceria dan gembira.Saya hanya memerhatikan mak sepanjang perjalanan ini. Kegembiraan mak adalah kegembiraan saya, kesedihan mak adalah kesedihan saya, kerisauan mak juga adalah kerisauan saya.. Banyak yang saya pelajari daripada perjalanan ini, dan saya nampak jelas betapa pentingnya muafakat kami adik beradik setelah ketiadaan ayah.. Kami bergerak dengan menaiki satu van dan satu kereta. Van TCB yang saya sewa dan Pesona Alang. Rombongan seramai 9 orang,kami sekeluarga bersama 2 orang bapa saudara dan seorang ibu saudara.Abang Amir datang kemudian menaiki bas kerana sudah mula bekerja. Saya tidak menyentuh stereng van sepanjang pergi dan balik,para lelaki yang drive,hee. Satu momen yang sangat terkesan di hati saya sepanjang majlis walimah angah adalah saat mak andam sedang menyiapkannya Angah.Saya turut sama berada di samping Angah untuk membantu.Saat mak andam nak menyapukan 'compact powder' pada muka Angah,entah kenapa ringan dan laju mulut saya bertanya : "Nak sapu bedak je kan? Boleh saya sapukan?" Dan laju juga mak andam tu setuju untuk saya sapukan,haha.Walaupun saya tak pernah menyapukan bedak pada sesiapa,kecuali pada anak-anak di tadika,tapi hentam sajalah,haha. Alhamdulillah akhirnya Alang yang bantu menyiapkan. Sebenarnya hati rasa tak sedap kalau mak andam(seorang wanita) yang siapkan angah. Masa yang sama,akal tak sempat berfikir pun sebenarnya 'apa yang perlu aku buat?'.Spontan sahaja lidah bertanya bila hati kurang setuju. Sama seperti ketika saat ayah hembuskan nafas terakhir dulu.. akal rasanya tak tahu berfikir nak buat apa, tapi hati seakan mengarah untuk melafaz ayat-ayat suci..spontan.. Minggu ni kenduri di Shah Alam pula. Moga semuanya berjalan lancar,ameen (^_^)

May 24, 2012

Rindu ayah..

Bismillahi walhamdulillah... Dalam keserabutan menyiapkan proposal, rindu pada ayah tiba-tiba menerpa.. Rindu pada senyuman ayah.. Rindu pada marah ayah.. Rindu pada gelak ayah.. Rindu pada panggilan telefon daripada ayah.. Dulu setiap kali kami sekeluarga pergi kenduri kahwin atau menziarah, ayah pasti akan mengambil kesempatan mengenalkan kami kelima-lima anaknya pada saudara mara.. Ayah dengan bangga akan menceritakan di mana kami belajar, apa kerjaya kami sekarang.. Dan kami lima beradik selalunya hanya akan senyum sesama kami.. Antara segan dan dah tak larat mendengar cerita sama yang di ulang saban waktu.. Tapi kini saya jadi rindu ingin mendengar ayah bercerita.. "Dengar cakap ayah, jangan jadi macam ayah" Ini moto yang ayah selalu ulang pada kami. Cakap nya berisi,bukan cakap kosong. Cakapnya berisi ilmu dari pengalaman hidup. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk kami, dia tak mahu kami menjalani hidup sepertinya.. Saya masih belum berjaya menjadi anak soleh untuk ayah..

March 20, 2012

~Seorang Hamba~

~Seorang Hamba..~

Kadang-kadang
Takut untuk melakukan dosa
Sebab takut Allah akan menarik kembali nikmatNya
Kerana si hamba tidak pandai menghargai
Tapi hakikatnya
Allah terlalu Agung untuk menarik secebis nikmatNya
Hanya untuk 'membalas' perbuatan dosa sang hamba
Sebab rahmat dan keampunanNya melebihi segalanya..

Kadang-kadang
Takut untuk melakukan dosa
Sebab takut Allah tidak akan lagi memakbulkan permintaan apabila meminta kepadaNya
Untuk apa memberi pada hamba yang tidak mahu mentaati
Tapi hakikatnya
Allah Maha Halus untuk menidakkan permintaan hambaNya
Hanya untuk 'menunjukkan' kekuasaanNya
kerana kekuasaanNya tidak berkurang dengan dosa dan keingkaran si hamba..

Kadang-kadang
Mengetahui sifat Pemurah dan Pengasih Sang Penguasa
Membuatkan diri sering alpa
Mengulang dan mengulang kesilapan yang sama
Terlupa Zat yang Maha Lembut itu juga amat keras seksaanNya

Kadang-kadang
Nurani yang paling dalam membisikkan
Seandainya Allah tidak menarik kembali walau secebis nikmatNya
Seandainya Allah tidak akan menghampakan setiap permintaan
Walaupun dalam keadaan ingkar dan bermaksiat kepadaNya
Adakah jiwa akan merasa tenang
Untuk terus terusan melakukan dosa

Tidak
Aku tidak menyembahNya kerana takut kehilangan nikmat
Aku tidak menyembahNya kerana takut permintaan tidak di makbul
Aku menyembahNya kerana aku adalah hambaNya
Seorang hamba~

March 4, 2012

Menanam nilai pada anak-anak..

Bismillahi walhamdulillah..

‎"Tea,Taufiq tarik tudung K.Long.."K.long datang mengadu pada saya.
Spontan saya berpaling,meninggalkan sebentar tugasan di atas meja.

"Taufiq tarik tudung kak long?"saya bertanya sekali lagi untuk mendapatkan kepastian. Kaklong mengangguk dengan wajah sugulnya. Saya langsung keluar dari pejabat,dan memanggil Taufiq yang baru berusia 4 tahun.

"Taufiq tarik tudung k.long?"Saya bertanya pada Taufiq. Dia menganggukkan kepala.

"Kenapa Taufiq tarik tudung kaklong?"Saya suka bertanya untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu,sebab saya yakin anak-anak ini mempunyai alasan mereka sendiri atas setiap apa yang mereka lakukan.

"Taufiq nak main je.."anak kecil itu menjawab perlahan.Saya tersenyum.

"Taufiq,lain kali kalau main,takmau main tarik tudung girl,kalo tudung tu terbukak mcm mana..mesti k.long malu,da pakai tudung cantik2 da..ok?"

"ok,"

"good.ok,td taufiq da buat k.long sedih,taufiq kna cakap ap kat kaklong?"

"Sorry kaklong.."Kata Taufiq sambil menghulurkan tangannya. Mereka berdua kembali tersenyum dan sambung bermain di ruang luar.

*************
Saya mahu anak-anak ini belajar menghargai dan menghormati maruah dan harga diri saudaranya sejak usia kecil agar bila besar kelak,mereka mampu jadi pelindung dan pembela ummah pula..

March 1, 2012

Apa yang membahagiakan saya...

Apa yang paling membahagiakan saya apbla terlibat dlm dunia kanak-kanak ini?

1) Apabila mereka dapat mengeluarkan semula ap yang saya ajar

2) apabila mereka menunjukkn penghargaan dgn hadiah ketika hr guru

3)apabila ibubapa menyampaikan terima kasih dan gembira bercerita tentang perkembangan anak mereka.

4)Apabila mereka dapat mempraktikkan apa yang saya ajar

5) Apabila mereka boleh mengingatkan saya kembali apabila saya terlupa tentang akhlak nabi dan kasih sayang Allah

Tapi yang teratas antara semua itu,saya rasa paling bahagia bila saya dapat buat anak tersebut rasa selesa,selamat,dilindungi dan disayangi. Rasa bahagia bila saya berjaya mententeramkan sang anak yang menangis kesakitan. Bahagia bila dapat mengembalikan kepercayaan dan yakin diri anak-anak untuk mencuba sesuatu yang baru.Bahagia melihat senyuman mereka yang tidak jemu menyapa dan memeluk saya apabila sampai ke tadika.

Sebab saya yakin,anak yang rasa disayangi dan dilindungi,barulah dia akan yakin untuk meneroka dan belajar tentang kehidupan,di situ kecemerlangannya akan bermula.

Kerana itu Tadika Cinta Bestari bermula dengan 'Cinta', baru datang 'Bestari' sebagai pelengkap (^_^)

"Una takut tak dapat masuk syurga..."

Selesai mengajar pendidikan islam tadi,semua murid balik ke kelas.Topik hari ini adalah tentang rukun iman yang kelima,beriman kepada Hari Kiamat.Husna tak bergerak dari tempatnya.Saya melihat Husna.Wajahnya keruh,air matanya bergenang.Saya jadi kaget..

Tea Izzah : Una kenapa?ad kawan buat ke?

Dia hanya menjawab dengan gelengan.

Tea Izzah : Ad kawan marah Una?Kawan tinggalkan Una?ke Una marah tea ?

Saya cuba memujuk sambil memeluknya.Semua pertanyaan saya di jawab dengan gelengan kepala.Tiada suara yang keluar.Hanya air mata yang bergenang. Akhirnya Tea Aisyah memujuknya untuk masuk ke kelas.

Tengah hari itu,selesai makan tengah hari,baru Husna datang kepada saya.

Husna : Tea nak tau ke kenapa Una sedih tadi?

Tea Izzah : ha'a,nape Una sedih tadi?

Husna : Una takut kalau nanti Una tak dapat masuk syurga..

Saya terdiam..terkedu..
Wajahnya keruh kerana takut tak dapat masuk syurga. Air matanya bergenang tadi kerana risau seandainya tak dapat masuk syurga..dalam usia 6 tahun..

Saya cuba mengimbas apa yang saya tahu tentang syurga ketika berusia 6 tahun. Saya cuba muhasabah sejauh mana saya pada saat ini benar-benar risau memikirkan "bagaimana nanti kalau saya tak dapat masuk syurga"...

Sungguh saya mendapat pelajaran yang besar hari ini..

February 11, 2012

Redha Mak...

Bismillahi walhamdulillah...

Hari ini saya belajar sesuatu..

Betapa mahal harga redha seorang ibu..

Betapa tinggi kedudukannya sebagai 'ibu' di pandangan Allah..

Yang seandainya terusik sedikit hatinya,Allah tidak akan menunggu lama untuk menegur sang anak..

***********************************

Jumaat,10/2/2012..4.30pm

Saya keluar dari tadika,menuju ke bank Islam,Parit Buntar. Dalam perjalanan pulang,terdetik untuk memeriksa telefon bimbit. Tiada. Mungkin tertinggal di tadika,detik hati saya. Sampai di tadika,saya cuba mencarinya,juga tiada. Saya cuba hubungi,tidak berjawab.

Saya patah balik ke bank Islam,meneliti sepanjang jalan,seandainya ada tercicir di mana-mana.Hampa..

Dalam kepala saya hanya terlintas satu wajah..mak!

Saya mula mengimbas kembali,setiap perlakuan saya ketika balik minggu lepas,setiap kata-kata saya ketika menghubungi mak sepanjang minggu ini.Sesuatu melintasi fikiran saya.. Semalam,ketika mak menelefon saya,mengadukan kerisauannya tentang urusan rumah peninggalan arwah ayah.. Saya dalam keadaan yang sangat penat,teramat penat. Berulang alik menaiki motor ke tadika dan pusar jagaan sekitar Bayan Lepas,Georgetown,Kepala Batas untuk pemerhatian,membuat pendaftaran semula di USM,dengan keadaan cuaca yang terik.. Dan ketika itu panggilan telefon mak datang.

Mungkin respon dan nada saya bercakap ketika itu membuatkan mak berkecil hati.. Becakap dengan gaya orang penat,saya sendiri tidak pasti bagaimana cara saya ketika itu.. Memang ada perasaan tidak enak hadir selepas selesai perbualan saya dengan mak,tapi sengaja saya tidak fikirkan sangat kerana penat..

Saya sangat yakin Allah uji saya kali ini kerana mak. Selesai solat asar,saya langsung menghubungi mak..

Saya : Assalamualaikum,mak sihat?

Mak : Sihat alhamdulillah,nape de?

Saya : Em,mak.. ude nak tanya..mak ada terasa hati ape2 dengan ude tak.. apa2 yang ude cakap buat mak terasa hati ke..?

Mak : ....Kenapa ude tanya macam tu?

Saya : Em,h.set ude hilang,tak tau tercicir kat mana..

Mak : Ya Allah.. ude da cari ke,cume call tak dapat?

Saya : Em,ude nak minta maaf ngan mak kalau ada apa2 yang ude cakap buat mak terasa hati ke.. Semalam masa mak call ude,cara ude jawab buat mak terasa hati ke, yang ude balik rumah hari tu,kalau ad ude wat ape2 yang buat mak terasa hati.. ude minta maaf. Mungkin h.set ude hilang ni sbb buat mak terasa hati..
(Saya tak sedar air mata saya dah menitis ketika itu..)

Mak : tak adalah.Ude pun banyak komitmen dekat sana.. (jawapan mak tambah meyakinkan saya memang dia ada terasa hati.Dia tidak mengiakan secara langsung,tapi meletakkan alasan atas tindakan saya..)

Saya : mak maafkan ude ya... mak doakan ude ya..

Mak : Ha,yelah,tak ada apa2. nanti cube cari lagi.

(Cuma sebahagian kecil daripada perbualan saya dengan mak)

Selesai perbualan saya dengan mak,hati saya rasa sangat lapang,tersangat lapang. Saya cuba menghubungi sekali lagi nombor saya. Masih tiada jawapan..sehingga deringan yang terakhir,tiba-tiba suara seorang lelaki menjawab. Saya nyaris melompat kegembiraan. Dia menyatakan menjumpai h.set saya di Parit Buntar,dan dia sekarang berada di Pekaka(Taman berdekatan dengan tadika). Saya langsung pergi mengambil h.set tersebut,dalam hati tak putus mengucap hamdalah.Kemudian saya langsung menghubungi mak semula,untuk memberitahu h.set telah dijumpai. Mak juga mengucap hamdalah,dan bersyukur,dan mak pula yang menitiskan air mata.. Tidak sampai 5 minit setelah menghubungi mak dan meminta maaf,Allah kembalikan semula h.set saya..

Jujurnya,h.set saya bukan jenis i-phone,bukan yang mahal,amk gmbr pn tak cantik.H.set murah CSL.Walaupun sebelum ini saya kerap hilang h.set kerana kecuaian,tapi saya sangat yakin kali ini saya tidak cuai. Dan saya percaya setiap apa yang berlaku pada saya,tidak hanya disebabkan faktor teknikal seperti kecuaian,terlupa,tertinggal,etc. Saya percaya ada sesuatu hikmah yang lebih besar daripada itu yang Allah mahu saya cari.

*****************************************************

Saya teringat semasa saya di menengah rendah dahulu,emak pernah berkata..

"Ude tak selalu baca buku,belajar,tapi ude selalu rajin tolong mak,sebab tu Allah selalu tolong ude,"

Saya terdiam mendengar kata-kata emak ketika itu.. Benar,semasa kecil,saya lebih memilih untuk membantu emak berbanding belajar di rumah.. Tapi niat saya ketika itu agar emak tidak akan memanggil saya untuk menolongnya ketika saya sedang menonton rancangan kegemaran saya atau membaca komik kegemaran saya.Saya tidak suka diganggu ketika melakukan apa yang saya suka.Tapi mak tidak melihat itu,dia hanya melihat saya rajin membantunya dan dia redha dengan itu..Dan meningkat dewasa,sedikit demi sedikit saya belajar meluruskan niat..

Saya juga bukan murid yang bijak dahulu,belajar alakadar sahaja. Walaupun suka membaca,saya suka membaca komik,buku cerita,bukan buku pelajaran. Tapi perjalanan akademik saya boleh dikatakan mudah,walaupun tidaklah secemerlang mana.Malah boleh dikatakan saya mendapat sesuatu yang lebih jika dibandingkan dengan usaha saya yang terlalu sedikit. Dan mak melihat itu.Dan saya sangat yakin,sebahagian besarnya adalah kerana berkat doa mak.

Saya tidak kisah samada ada orang baca atau tidak apa yang saya tulis. Saya menulis untuk muhasabah diri saya sendiri,dan agar saya boleh sentiasa memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lama. Dan saya menulis untuk menyampaikan kepada keluarga saya,adik beradik saya,apa yang mungkin saya tak mampu sampaikan secara lisan dan berdepan..

Kejayaan kita,bukan semata-mata kerana usaha. Tapi bergantung juga hubungan kita dengan Allah, dan redha ibubapa..

Pengumuman...

Alhamdulillah, blog tadikataskacintabestari telah beroperasi seperti biasa.(^_^)

January 31, 2012

Pengumuman...

Blog tadikataskacintabestari.blogspot.com tidak dapat di akses buat sementara waktu atas masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Mohon maaf ya(^_^)

January 1, 2012

Selamat Datang 2012...

Bismillahi walhamdulillah..

2011 berlalu.

2012 menjelma.

Banyak peristiwa besar berlaku sepanjang 2011 :

1)Saya mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat master
2)Perkahwinan kakak
3)Pertunangan abang
4)Pemergian ayah

2011 banyak mengajar saya untuk menjadi lebih matang.

2012

Tak tahu apa yang akan menanti.Kita merancang,Allah juga merancang,dan Dia adalah sebaik-baik Perancang. Yang pasti, akan ada banyak perbezaan bagi tahun ini,tanpa kehadiran arwah ayah di sisi.

Dan satu perkara yang akan tetap sama dan tidak akan berubah selamanya..

Saya tetap adalah seorang hamba, yang hidup untuk mencari redha Tuhannya walau di bumi mana Dia menghidupi saya..

~Terus berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa,bekal menuju negeri abadi~