September 17, 2012

Bahaya Lidah vs Keluarga Sakinah

Bismillahi walhamdulillah...

"woi,takde otak ke?"

"kecik-kecik taknak mampus, da besar menyusahkan orang"

"bodoh tak boleh di ajar"

"kau jangan nak kurang ajar"

Banyak lagi ayat-ayat kasar dan kurang sopan yang boleh di reka, atau yang pernah kita dengar-mungkin?

Semuanya melibatkan kolaborasi penggunaan tiga anggota penting - hati, akal, lidah. Dan lidah akhirnya yang mengeluarkan ayat dalam bentuk nyata.


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan yang ringkas dari nabi SAW,tapi sangat mendalam. Tidak meletakkan keutamaan berkata baik kepada siapa,bermakna kita harus mengaplikasikannya terhadap siapapun di sekeliling kita samada keluarga,  saudara mara, guru, rakan-rakan,jiran tetangga, penjual ikan, pekedai, etc.

Cuma saya tertarik untuk mengaitkannya dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Keluarga merupakan unit asas masyarakat.Justeru keluarga yang porak peranda, saling menyakiti, tidak saling menghormati ~ tidak akan mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni, bagaimana pula jika ingin bersama-sama ke syurga kelak...

Saya masih ingat ketika saya masih kecil, saya juga biasa bercakap kasar,apatah lagi ketika marah atau bergaduh dengan adik beradik, lidah dengan laju akan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Telinga saya juga biasa menadah hamburan kata-kata yang tidak enak.

Namun, kesannya sangat berbeza apabila hamburan kata-kata yang kurang enak itu saya terima tatkala saya masih berada pada fasa kanak-kanak sehingga remaja dengan kata-kata itu saya terima tatkala berada pada fasa dewasa. Apabila masih kanak-kanak, kita dengan mudah akan memaafkan dan melupakan walaupun tiada ungkapan maaf secara 'official'. Hari ini bergaduh, esok boleh bermain bersama kembali. Tetapi apabila meningkat dewasa, kita mula tahu apa itu harga diri, kita mula tahu apa itu terasa hati. Sehingga kata-kata itu membekas dalam hati dan mengubah persepsi. Atau mungkin juga mampu mengubah peribadi, daripada seorang yang ramah menjadi dingin. Daripada seorang yang lembut menjadi kasar,daripada seorang yang mengambil berat kepada tidak ambil peduli.

Bahaya lidah ini akhirnya membawa kerenggangan kepada sebuah ikatan kekeluargaan. Masing-masing dengan pendapat dan cara fikir sendiri. Masing-masing menegakkan 'aku betul,dia yang salah', 'aku besar, dia kecil,dia yang perlu beralah, 'ini tanggungjawab dia, bukan tanggungjawab aku' dan seribu satu macam bentuk keakuan lagi..

Kadang-kadang kita mengambil hujah bersikap ' defensive'.

"Da dia yang mula dulu. kalo dia tak cakap macam tu, aku pun tak balas,"

' aku tak kacau orang.tapi kalo dia start dulu,memang kena la'.

'dia tu lagi teruk dari aku'.

'diapun tak reti hormat orang tua,apasal aku kena hormat dengan dia'

'ingat dia lagi tua, semua dia buat tu betul?'

'Da lama aku tahan sabar ngan perangai dia, makin aku diam,makin menjadi-jadi'

Sehingga kita lupa 'dia' itu mungkin adalah abang atau kakak kita. Dia itu mungkin ibu saudara atau bapa saudara kita. Dia itu mungkin adalah adik kandung kita. Dia itu mungkin adalah ibu atau ayah kita!

Rasa marah itu tidak salah. Memang perlu apatah lagi bila kena pada tempatnya. Cuma cara kita menyuarakan kemarahan itu yang perlu di perhatikan. Jangan kemarahan itu menyebabkan kita hilang adab dan sopan. Jangan kemarahan itu menyebabkan hilang rasa hormat.

'Pause button'

Perlu ada kemahiran untuk menekan butang ini tatkala sedang amarah. Adalah lebih baik menghentikan perdebatan dalam keadaan marah. Tunggu reda dan emosi dalam keadaan stabil,barulah memulakan penjelasan atau perbincangan. Logiknya, apabila kita atau lawan bicara kita dalam keadaan marah dan emosi, tiada guna penjelasan di lakukan pada ketika itu.

Kita mungkin seorang yang tenang, tidak emosi,tidak berhasrat untuk memanjangkan perdebatan, hanya ingin menjelaskan keadaan. Tapi seandainya lawan bicara kita ketika itu kelihatan emosi dan kurang rasional, jangan di teruskan penjelasan tersebut. Hentikan dan langsung berlalu dari situ. Tunggu masa yang sesuai untuk penjelasan.

Mengalah tidak bererti kalah. Dan saya sangat yakin, sebuah kekerasan tidak akan mampu mengubah kekerasan yang lain. Jadilah air,walaupun ia mengambil masa yang sangat lama. Kerana air akhirnya akan mampu melekukkan batu yang keras. Kerana kita bukan berhadapan dengan golongan kuffar yang memusuhi islam,tetapi kita berhadapan dengan saudara muslim yang punya pertalian darah dengan kita, yang kita harapkan akan kembali berkumpul bersama di syurga.

Tahanlah lidah anda!

“ Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang sangat sengit dalam bertengkar.” 
(riwayat Bukhari, Muslim, Turmizi dan Nasa’i)