December 18, 2011

Hati Seorang Ibu....

Bismillahi walhamdulillah...

Kini saya ada satu kebiasaan baru.Bangun dari tidur,saya pasti akan terus memeriksa telefon bimbit.Bimbang sekiranya ada panggilan kecemasan dari rumah. 5.40pagi tadi,saya dapati 'missed call' pada h.set. Saya mengerut kening.Nombor tidak dikenali,tapi saya yakin itu nombor Mesir.Pasti Aus meminjam telefon kawan-kawannya.Laju jari saya mendail semula.Benar Aus yang menelefon,ingin minta saya call mak dan tanya samada sudah makan ubat batuk atau tidak.Ketika dia menelefon,mak mengatakan tak mengapa,dia akan makan pagi nanti sahaja,kerana hari dah lewat malam,dia agak tidak berani untuk turun ke ruang bawah yang sudah agak sunyi kerana tiada orang.

Saya terus hubungi mak.Alhamdulillah batuk mak tidak kedengaran.Tapi memang mak tidak makan ubat batuk,hanya menggunakan ubat asma(inhaler).Tidak berani untuk turun ke ruang bawah.Saya berpesan pada emak agar mengejutkan alang atau angah sekiranya memerlukan apa-apa.Mak menolak. Katanya dia tidak mahu menyusahkan.Selagi boleh bertahan,dia akan tahan sahaja.Mak mengatakan,kadang-kadang jika terasa ingin buang air,mak akan tahan sahaja sehingga pagi kerana tidak berani turun ke bawah seorang diri. Saya jadi terkejut.Saya bertanya kenapa mak tidak menggunakan tandas di ruangan atas.Mak kata,kadang-kadang dia makan petai,jadi dia takut tandas akan meninggalkan bau sekiranya dia menggunakan tandas atas.Dia tidak mahu anak-anak nya tidak selesa..

Hati saya cukup sayu mendengar jawapan mak..Sampai ke tahap itu mak berusaha untuk tidak menyusahkan kami,anak-anaknya.. Saya juga tidak akan tahu tentang ini sekiranya tidak bertanya,mak tidak akan bercerita.. Mak boleh bersembang seperti biasa tentang perkara-perkara lain,taska,tadika,sudah masak,tengok tv,tunaikan solat dhuha,etc. Tapi mak jarang bercakap tentang apa yang dia perlukan,melainkan di tanya.

Satu perubahan yang saya perasan pada mak..dia cuba berdiri atas kakinya sendiri setelah ketiadaan ayah.Dia tidak ingin menjadi beban kepada anak-anaknya.. Dia merasakan anak-anaknya juga punya kehidupan mereka yang perlu di uruskan..dan saya rasa sangat bersalah..Dalam masa yang sama,sensitivitinya juga semakin meningkat tinggi,perasaannya mudah terguris,cuma dia simpan dan diamkan dalam hati..

Ya Allah,jadikan kami anak-anak yang berbakti kepada mak dan ayah di dunia dan akhirat..

December 17, 2011

Hukum Sedeqah Pahala Amalan Kepada Si Mati

Hukum Sedeqah Pahala Amalan Kepada Si Mati

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman,http://zaharuddin.net

Apakah hukum seseorang menghadiahkan pahala amalan ibadahnya kepada orang mati iaitu seperti membaca al-Fatihah buat si mati dan seumpamanya, tidak kira samada dari kalangan ahli keluarganya atau selainnya..adakah pahala tersebut sampai kepada si mati ?

Jawapan :

Sebelum menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik kiranya pembaca dapat memahami bahawa amal ibadat seseorang terbahagi kepada 3 jenis :-

1) Amal Ibadah ‘Badaniah' semata-mata : Iaitu ibadat yang dilakukan oleh tubuh semata-mata seperti solat, puasa, membaca al-quran dan lain-lain.

2) Amal ibadah ‘Maliah' : Iaitu amal ibadat berbentuk harta semata-mata, seperti zakat, sedeqah.

3) Amal ibadah yang mengandungi unsur ‘badaniah' (dilakukan oleh tubuh) dan ‘maliah' ( berbentuk harta) serentak ; ianya seperti Haji.

Maka bagi menjawab persoalan di atas, secara umumnya seperti berikut :-

a- Para ulama ahli sunnah wal jama'ah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan boleh di hadiahkan pahalanya kepada orang lain. Ia adalah amalan berikut ( Rujuk : Hasyiah Ibn ‘Abidin , 1/605 ; Nihayatul Muhtaj , 6/92 ; Mughni al-Muhtaj , 3/96 ; al-Mughni, 2/567 ) :-

1- Sedeqah harta dan yang sepertinya.

2- Doa & istighfar.

3- Apa-apa jenis Ibadat yang boleh diwakilkan. (seperti haji)

Antara dalil utama mereka adalah :-

a) Erti firman Allah : "Dan mereka yang datang selepas kumpulan itu , berdoa Ya tuhan kami ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang sebelum kami telah beriman" ( Al-Hasyr : 10 )

b) Firman Allah ertinya : "Dan pintalah ampun bagi dosa kamu dan dosa orang mukmin" ( Muhammad : 19 )

c) Bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: ertinya " Ya Rasulullah SAW , sesungguhnya ibuku telah meninggal, adakah jika aku bersedeqah untuknya, maka pahala sedeqah ini dapat memberi manfaat kepadanya? , Nabi SAW menjawab : " Ya" ( Riwayat Abu Daud & Tirmidzi ; Imam Tridmidzi mengatakannya Hasan ; juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sedikit berbeza lafaz tetapi ertinya sama)

d) Seorang lelaki bertemu Nabi SAW lalu bertanya " Ibu telah meninggal, dan ada meninggalkan harta tetapi ia tidak membuat sebarang wasiat terhadap hartanya, adakah jika aku menyedeqahkan hartanya maka dosanya boleh terhapus ? Nabi menjwab : ya" ( riwayat Muslim , Nasaie , tirmidzi dan lain-lain)

Hasil kefahaman dari dalil-dalil di atas :

* Doa muslim kepada yang lain samada hidup atau mati, adalah boleh membantu saudaranya dalam bentuk syafaat, sebagaimana kata Imam al-‘Iz bin Abd Salam "Doa adalah suatu bentuk syafaat (bantuan) yang diharuskan buat ahli keluarga dekat dan rakan yang jauh" ( Qawa'id al-Ahkam , 1/135 ).

* Amalan sedeqah harta boleh memberi manfaat kepada si mati. Bagaimanapun Imam As-Syawkani ( w 1255 H) dan Syeikh Muhd Rashid Ridha ( w 1354 H) berpendapat amalan sedeqah ini khas untuk anak si mati sahaja. Menurut mereka, sedeqah dari orang asing tidak sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Nayl awtar , 4/99).

Bagaimanapun Imam An-Nawawi (w 676 H) serta jumhur ulama sebelum as-Syawkani telah pun membawa hujjah bahawa sedeqah bukan dari anak juga boleh sampai kepada si mati dengan dalil berikut :-

1) Ijma' , ia telah ditegaskan oleh Ibn Quddamh ( w 620 H), An-Nawawi dan Ibn Khathir.

2) Telah sabit dalam hadtih bahawa Nabi SAW telah mengiakan pelupusan hutang beberapa orang sahabat, walaupun ia di bayar oleh bukan ahli keluarga si mati.



b- Adapun amalan-amalan lain terutamanya dari kumpulan amalan berbentuk ‘badaniah' semata-mata dan berbentuk gabungan antara amalan tubuh dan harta, Para ulama terbahagi kepada dua kumpulan besar, ia seperti berikut : -

* Majoriti ulama berijtihad mengatakan ianya tidak boleh dihadiah dan tidak sampai kepada si mati jika dihadiahkan. Ia adalah pandangan Imam As-Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Syafie, ia juga pandangan Imam Malik, Imam Izzudin Bin Abd Salam.

Antara dalil utama kumpulan ulama yang melarang ini adalah seperti berikut :-

1) ((وأن ليس للإنسان إلا ما سعى ))

Ertinya : "Dan sesungguhnya setiap manusia tidak akan memperolehi kecuali apa yang diusahakan.." ( An-Najm : 39 )

2) ((ولا تكسب كل نفس إلا عليها , ولا تزر وازرة وزر أخرى ))

Ertinya : "Dan tidaklah seseorang berusaha (beramal) kecuali ia akan memperolehinya , dan tidaklah seseorang kamu menanggung dosa dan beban orang lain" ( Al-An'am : 164 )

3) Hadith Nabi SAW

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"

Bagaimanapun, Mazhab Hanafi, Hanbali secara umum dan sekumpulan kecil dari mazhab Maliki, ulama mutaakhirin dari mazhab Syafie dan Imam Al-Qurtubi pula berpendapat : Harus dan pahala seluruh jenis ibadat sampai kepada si mati, iaitu jika ia diniatkan hadiah kepadanya. Ini beerti menurut ijtihad kumpulan ulama ini, semua ibadat seperti solat, puasa, haji, membaca al-quran, sedeqah harta, doa dan lainnya, akan sampai pahalanya kepada si mati. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa sedeqah tidak semestinya dengan harta (al-Bahr al-Raiq,3/64 cet dar al-Kitab al-Islami; At-Tazkirah fi Ahwal al-Akhirah, 1/101)

Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal secara peribadi pula mempunyai pandangan pertengahan antara kedua kumpulan di atas dimana beliau berijtihad HARUS menyedeqahkan pahala membaca al-Quran kepada si mati.

Imam ahmad mengatakan :

" وأي قربة فعلها وجعل ثوابها للميت المسلم نفعه ذلك إن شاء الله , والمسلمون في كل عصر ومصر يجتمعون ويقرأون القرآن ويهدون ثوابه إلى موتاهم من غير نكير "

Ertinya : Dan apa jua amalan taqarrub yang telah dibuat dan dijadikan pahalanya kepada si mati yang Muslim, maka ia telah memanfaatkan si mati inshaAllah, dan orang Islam di setiap zaman dan tempat berkumpul dan membaca al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati mereka tanpa sebarang bantahan" (Al-Mughni, 2/566)

Ijtihad beliau disokong oleh sebahagian daripada ulama mazhab Syafie seperti Imam Ibn Solah, Al-Muhib at-Tabari lain-lain. Imam Ibn Quddamah Al-Hanbali ( w 620 H) berkata : " sejak turun temurun di setiap zaman muslim berkumpul dan membaca al-Quran serta mendoakan pahalanya kepada muslimin yang telah meninggal, Nabi SAW pernah bersabda bahawa si mati di azab dengan sebab ratapan dan raungan si hidup, maka tiada sebab mengapa Allah menghalang pahala kebaikan sedangkan azab boleh samapi kepada si mati.." (Rujuk al-Mughni, 2/226 cet Dar Ihya at-Turath al-Arabi)

Secara ringkas antara dalil-dalil kumpulan ulama yang membolehkan ini adalah hadith-hadith yang menyebut tentang keharusannya dalam jenis ibadah Puasa, Haji, Doa, Istighfar dan lain-lain, yang mana menurut ijtihad mereka ia termasuk secara langsung atau tidak dalam bentuk ibadah ‘badaniah' semata-mata dan juga gabungan badaniah (tubuh) dan harta. Berdasarkan dalil ini mereka men ‘qias'kan kepada semua jenis ibadah.

Demikianlah, beberapa pandangan para ulama muktabar ahli sunnah wal jama'ah dalam tajuk ini, kesemua mereka sebagaimana yang dapat dibaca, berijtihad dalam memahami dalil-dalil ..maka dalam hal ini, justeru kiranya ada individu yang melakukannya, tidak harus kita menolaknya secara putus (qat'ie) kerana mereka juga mempunyai dalil walaupun dalil mereka di anggap lemah oleh yang menolak ( kecualilah jika terdapat unsur-unsur bid'ah terhasil dari perkara-perkara luar). Apa yang penting adalah menghormati hasil ijtihad para ulama yang berkelayakan.

Sebagai penutup, suka saya memetik kata Ibn Taymiah : "Sah dari Nabi SAW bahawa baginda mengarahkan bersedeqah kepada si mati, juga berpuasa untuknya , maka sedeqah untuk si mati adalah termasuk dari kalangan amalan soleh.... Bagaimanapun bukanlah dari kebiasaan para ulama salaf dan sahabat apabila solat sunat dan puasa dan haji dan membaca al-Quran, mereka menghadiahkan kepada muslimin yang telah mati, justeru adalah terlebih baik jika manusia menuruti jalan mereka kerana ia adalah lebih baik dan sempurna." (Fatawa al-Kubra , 3/38 cet dar al-kutub al-ilmiah)

Justeru, saya merasakan adalah lebih baik menghabiskan usaha si hidup untuk menghadiah pahala-pahala yang pasti sampai kepada si mati sahaja. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin memegang ijtihad ulama yang mengharuskan, saya kira ia bukanlah masalah yang besar. Wallahu'alam.

December 12, 2011

Selamat Jalan Ayah...

Bismillahi walhamdulillah...

Hati menangis, mata menitiskan air mata, tapi kami tidak kuasa mengatakan melainkan apa yang diredhai Allah...Innalillahi wa inna ilaihi rajiu'n...Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali..

Genap lapan hari pemergian arwah ayah kembali ke rahmatullah..segalanya masih jelas dalam ingatan saya..

Perjalanan kami ke Kota Bharu untuk melangsungkan pertunangan abang.Saya bersyukur kerana pulang ke rumah terlebih dahulu,kerana mengikut perancangan asal,saya akan terus menaiki bas ke KB.Ditakdirkan Allah,tiket habis,lalu saya menaiki bas pulang ke Shah Alam.Sampai di rumah,ayah menunggu saya untuk sama-sama menyusun duit hantaran Angah.Malam itu ayah berjaga bersama saya untuk menyusun duit hantaran.Dalam keadaan antara larat dan tidak,ayah gagahkan diri untuk melihat saya menyusun duit hantaran. Bila tidak larat,ayah baring sebentar,kemudian akan bangun semula.Begitulah sehingga kami selesai menyusun duit hantaran dalam pukul hampir 3 pagi.

Pagi Sabtu,kami bertolak dari rumah dalam pukul 11.30pagi,janji untuk bertemu makcik di Tol Gombak.Kami akan konvoi dua kereta untuk ke KB.Sepanjang perjalanan,ayah batuk-batuk. Batuk ayah memang agak teruk akhir-akhir ini,memang kami bawa ubat batuk dan semua ubat yang dirasakan perlu memandangkan ini perjalanan yang jauh.Sampai di Gombak,ayah kelihatan lemah dan tidak larat. Kami berhenti rehat dan makan sambil menunggu makcik.Saya ,mak dan Angah makan nasi di luar kereta,kakak tidak makan,manakala ayah makan bubur di dalam kereta.Memang kami makan di luar agar ayah lebih selesa di ruang duduk belakang. Selesai makan,batuk ayah masih tidak berkurang,ayah nampak tidak larat. Saya mengajak ayah berehat di surau sementara menunggu makcik.Selesai memimpin ayah ke surau bersama Angah,saya dan mak ke ruang solat wanita untuk menunaikan solat.

Kami menyambung semula perjalanan setelah jam menunjukkan hampir pukul 3 petang.Makcik telah sampai. Ayah masih kelihatan tidak larat,tapi ayah menyuruh untuk meneruskan perjalanan.

"tak apa,bawaklah pelan-pelan,boleh.."Begitulah kata ayah meminta kami meneruskan perjalanan.Sepanjang perjalanan dari Gombak ini,batuk ayah semakin teruk,sampai ayah muntah-muntah.Muntah ayah cuma keluar kahak dan air,mungkin sebab ayah pun cuma makan bubur.Saya,ayah dan mak duduk di kerusi belakang dengan saya berada di tengah-tengah dan mak dan ayah di kiri dan kanan saya.Sepanjang perjalanan ini,saya dan mak tidak putus memicit badan dan kepala ayah agar ayah akan rasa lebih lega.Tapi batuk ayah nampaknya tidak berkurang,malah semakin teruk. Akhirnya,ayah meminta kami berhenti di stesen minyak,dia ingin ke tandas.Kami berhampiran Dong,Pahang ketika itu,tiada stesen minyak yang terdekat,jadi kami berhenti di masjid. Sampai di masjid,ayah tidak mahu ke tandas,ayah meminta untuk menukar seat hadapan kerana tidak larat berada di seat belakang. Akhirnya Alang tumpang kereta makcik,saya duduk betul-betul di belakang ayah,kerusi ayah dibaringkan sehingga tahap maksimum,betul-betul mencecah riba saya.Mak menyuapkan ayah bubur,makcik dan Angah mencari air gula untuk ayah,kerana bimbang ayah mungkin tidak larat disebabkan kekurangan gula kerana ayah mengidap kencing manis.Saya terus memicit-micit badan dan kepala ayah.Setelah lebih kurang setengah jam,ayah mula kelihatan lega.Kami meneruskan perjalanan dan semua bersetuju untuk mencari mana-mana klinik yang ada untuk memeriksa keadaan ayah terlebih dahulu.

Ayah mula kelihatan lega,tiada kedengaran batuk-batuk ayah lagi,nampak ayah seperti mula boleh tidur dan berehat.Saya dan emak terus memicit badan dan kepala ayah. Melepasi Kuala Lipis,kami berhenti lagi di stesyen minyak Shell Padang Tungku,ada yang mahu ke tandas. Di sini,ayah terjaga kembali.Saya sempat menyuapkan bubur pada ayah,ayah makan agak banyak.Ayah kembali batuk,nampak tidak selesa.Sekejap ayah mengaduh kakinya kebas,tidak boleh gerak,Alang memicit kaki ayah.Sekejap ayah berpusing ke kiri,sekejap ke kanan,badan ayah berpeluh,peluh yang agak banyak,baju kemeja ayah basah dengan peluh,ayah minta ditanggalkan bajunya.Saya terus menyapu krim but-but pada dada dan badan ayah,tapi tangan saya jadi basah dengan peluh ayah.. saya mengelap peluh di muka dan badan ayah dengan sapu tangan lembap,peluh ayah keluar kembali.Saya lap pula dengan tisu,peluh ayah keluar kembali,peluh dingin.. Hati saya rasa tidak enak.. Saya minta Alang ambilkan tuala mandi ayah di bonet untuk mengelap peluh ayah,peluh ayah di muka dan badannya terus ada.Ayah beritahu kami,dia ingin ke tandas,alang terus memandu kereta berhenti betul-betul di hadapan tandas agar mudah untuk kami memapah ayah ke tandas.Tapi kemudian ayah mengatakan dia tidak mahu ke tandas,ayah terus mengaduh kakinya kebas,Alang dan Angah memicit kaki ayah.Saya yang memang tidak dapat bergerak,terus memicit ayah..Alang bertanya kalau ayah merasa sejuk atau panas,kerana banyaknya peluh yang keluar.Tapi saat ini,kami tidak dapat memahami apa yang ayah cakapkan...dan adakalanya ayah seperti meracau.Mak buatkan susu kambing Hi Goat,agar ayah sedikit bertenaga.Saya suapkan susu pada ayah,ayah minum menggunakan straw,agak banyak ayah minum.

Melihat keadaan ayah,kami bergegas bergerak kembali untuk mencari klinik. Jujurnya,hati saya resah apabila melihat peluh dingin ayah yang tidak berhenti keluar dari tadi.Sepanjang bergerak dari Shell,mata saya tidak lepas dari ayah,tangan saya tidak berhenti memicit ayah,saya dapat dengar mak melafaz zikir di sebelah saya.Tidak sampai 10 minit kami meninggalkan Shell,tiba-tiba saya melihat ayah menarik nafas kuat,dadanya berombak,saya segera memanggil ayah,3 kali,4 kali,ayah tidak merespon... Spontan saya membacakan alfatihah,albaqarah 1-5,3 qul dan langsung saya lafazkan syahadah di telinga kanan ayah..Saya tak tahu..Saya tak tahu apa dalam fikiran saya ketika itu..saya tak pernah berhadapan dengan orang yang sedang sakarat..saya tidak tahu.. naluri seorang anak menidakkan sebarang kemungkinan buruk yang terlintas..tapi lidah langsung membacakan ayat-ayat suci.. dan kemudian,sekali lagi ayah menarik nafas kuat,matanya memandang ke atas,saya sempat melihat bibir ayah bergerak seakan menyebut Allah,tapi tidak jelas kedengaran di telinga saya..kemudian mata ayah tertutup,saya terus memanggil ayah ,tiada respon.Saya langsung memeriksa nadi ayah di leher,saya tak dapat rasa apa-apa..Bimbang saya terlalu panik menyebabkan tak dapat mengesan nadi ayah,saya langsung merebahkan kepala di dada ayah,ingin melihat samada dada ayah masih berombak walaupun sedikit,kaku.Jam ketika itu menunjukkan 6.45petang. saya terus meminta Angah memberhentikan kereta,dan meminta makcik dan pakcik untuk memeriksa ayah.Mereka memeriksa ayah,dan menegaskan untuk terus membawa ayah ke hospital.

Sepanjang perjalanan,saya dan mak bergilir membacakan yasin yang kebetulan mak bawa bersama.Tangan saya terus memeluk ayah,sambil terus merasa kalau ada apa-apa tindakbalas dari ayah..Angah terus memandu sambil sebelah tangannya memegang ayah.. Mak mula membuat panggilan,telefon Aus yang berdada di Mesir dan Andak di Sabah,minta agar turut sama mendoakan agar semuanya selamat.. Saya tidak berani memikirkan apa-apa kemungkinan..Hati kuat mengatakan ayah telah tiada,tapi akal menyangkal dengan alasan mungkin ayah pengsan kerana tidak cukup gula. Air mata ingin menitis,tapi saya tahan kerana saya tahu saya tak boleh menangis sekarang..

Kami sampai di Hospital Gua Musang lebih kurang jam 8.20malam,sejam lebih di perjalanan.. Sampai di kecemasan,doktor mengesahkan ayah telah tiada,kembali ke rahmatullah..Akhirnya air mata saya tumpah juga..

Seminggu berlalu,saya kembali ke Penang,Aus kembali ke Mesir,Andak kembali ke Sabah,Angah terpaksa 'out station' ke Kuala Lipis.Mak di rumah bersama Alang.Hingga saat ini,air mata saya masih begitu mudah tumpah.Sungguh saya tidak sekuat mana..Benarlah apa yang Allah firmankan :

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum datang kepadamu cubaan seperti yang di alami orang-orang terdahulu sebelum kamu..(2:214)

Dengan ujian baru kita dapat mengukur sejauh mana keimanan dan keyakinan kita pada taqdir Allah..

Saya risaukan mak di rumah..Tapi saya tahu,walaupun saya berada di sebelahnya,tetap Allah adalah pemelihara dan penjaga terbaik untuknya..Kini cuma tinggal satu laluan utama saya ke syurga,yang perlu saya jaga dan hargai sebaik-baiknya.. Dengan pemergian ayah,perancangan hidup saya juga akan berubah..moga Allah permudahkan segala urusan.

Buat abang,kakak dan adik-adik uda,mari buktikan kecintaan kita pada arwah ayah bukan sekadar dengan deraian air mata,bukan juga sekadar bacaan yassin dan tahlil yang ada waktu dan ketikanya,tapi juga dengan menjadi anak soleh,hamba Allah yang patuh pada Tuhannya dalam segenap kehidupan kita,mudah-mudahan Allah akan mengumpulkan kita semula di negeri yang kekal abadi di sana...