October 27, 2010

Teacher,Allah kat mana?

Bismillahi Walhamdulillah...

"Ok,habis da cerita tea,sekarang waktu untuk..."

"tidur!!!!" Anak-anak menjawab serentak.Masing-masing merebahkan badan ke toto lebar berwarna merah itu.

Saya tersenyum.

Seakan menjadi jadual,perlu ada 'bedtime story' sebelum mereka tidur tengah hari.Saya perlu sentiasa bersedia dan mencari cerita baru setiap hari untuk mereka,huhu.Waktu inilah saya manfaatkan untuk bercerita kisah-kisah yang mengandungi pengajaran dan akhlak mulia kepada mereka.

"Tea,Allah ada kat mana?" Tiba-tiba Danish yang berusia 4 tahun bertanya.

"Ha'a tea,Allah ada kat mana?" Faiz mengulangi soalan yang sama.Mata anak-anak itu tertumpu pada saya.Menunggu jawapan.Saya senyum.

"Allah tu ada kat Arasy,"saya jawab ringkas.Bersedia menunggu soalan seterusnya.

"Arasy tu apa tea,"Teah pula bertanya.

"Arasy tu dekat mana tea,"

"Arasy tu macam mana tea,macam tadika ke,"

Bertubi-tubi soalan yang saya dapat,huhu.Saya cuba memikirkan jawapan terbaik dengan susunan ayat yang paling baik,pemilihan kata yang tepat dan sesuai dengan tahap mereka.

"Arasy tu tempat Allah ada tu lah.Arasy tu jauh...sangat.jauh... sangat...kat atas langit,atas lagi,jauh...lagi.Tea pun tak tau rupa arasy macam mana,sebab tea pun tak pernah sampai sana,"dengan penuh gaya saya memberitahu mereka.

"jauh sangat ke tea?"

"jauh sangat..."

"naik aeroplane boleh sampai ke tea?"tanya Faiz.

"Naik aeroplane pun tak boleh sampai"

"kalau naik kereta?"

"motor?"

"bus?"



Hampir semua jenis kenderaan mereka sebutkan.

"Kalau naik burqa tea?"Danish pula bertanya.

Saya mengerutkan kening,burqa?

"ala,yang nabi naik masa isramidraj tu'"Teah menyampuk dengan penuh yakin walaupun tersilap sebut isra' mikraj,huhu.

"Oh,buraq?,"Tawa saya meletus.Bijak benar anak-anak ini.

"naik kereta tak boleh sampai,naik aeroplane pun tak boleh sampai.Motor,bus,buraq,semua tak boleh sampai kat Arasy tu.Sebab arasy tu jauh sangat.."

"Kat dunia ni,kita tak nampak Allah,tapi Allah nampak kita,jaga kita. Allah sayang kita.Kalau nak jumpa Allah dan nak Allah sayang,kena jadi anak soleh.Rajin solat,sayang ibu abah,dengar cakap tea,tak gaduh dengan kawan,boleh?"Terang saya panjang lebar.Entahkan faham,entahkan tidak anak-anak kecil ini.

"Boleh!!!"Mereka menjawab serentak.

"Jadi,siapa anak soleh,dengar cakap tea,kena tidur sekarang,ok?Nanti tea kejut untuk bangun mandi ya?"

"Ok tea,"jawab Insyirah.Beberapa kawannya yang lain mengikut.

"Sayang tea,"kata Teah pula,sambil mula memejamkan mata.Kawan-kawannya yang lain mengikut.

Saya tersenyum lagi.

Jujur,saya sendiri masih belajar mengenalkan Allah dengan cara terbaik kepada anak-anak ini.

Saya ingin mereka mengenal Allah dengan kefahaman,bukan hafalan.

Saya ingin mereka boleh seperti si kecil penggembala kambing yang di uji Umar Al-Khattab,lalu dengan tegas dan yakin menjawab "Fa aina Allah?"

October 23, 2010

Perkongsian: Berikanlah kemaafan, walaupun sukar

Susahkan nak maafkan orang? Ya. Saya akui susah. Bukan mudah hendak memaafkan orang yang telah melukakan kita. Yang mungkin memfitnah kita. Yang mungkin menyebar cerita-cerita palsu fasal kita. Yang suka membuat spekulasi dan cerita itu dan ini berkenaan kita. Yang tikam kita dari belakang. Yang khianat kita. Yang tak habis-habis cari fasal dengan kita. Yang itu, yang ini, yang begitu dan yang begini.

Memang susah hendak memaafkan. Saya tidak bohong.

Lebih-lebih lagi apabila kita sudah cuba berlapang dada, berhenti dari meneruskan sengketa, bahkan menghulurkan tangan meminta kemaafan kalau-kalau ini semua dimulakan oleh diri kita, tetapi kita tidak dilayan bahkan semakin menjadi-jadi pula kebencian mereka terhadap kita.

Memang susah. Saya tidak pernah kata senang.

Tetapi berikanlah kemaafan.

Walaupun sukar.


Jangan jual jiwa kamu.

Apakah untungnya kita melenting dengan orang yang melakukan macam-macam pada kita?

Ya, saya faham jiwa kita sakit. Hati kita cedera. Kita terasa. Lagilah kalau orang-orang itu kita sayang sebenarnya. Kita anggap macam keluarga kita. Keluarga mereka pun kita rapati dengan baik, adik beradik mereka pun kita layan dengan baik, bahkan kita pernah memberikan hadiah kepada mereka, dan bertanya pula apa salah kita yang membuatkan mereka tidak suka kepada kita.

Dengan sikap mereka yang masih membenci kita, bahkan cerita 1001 macam berkenaan kita, spekulasi macam-macam, menimbulkan persoalan-persoalan yang membawa fitnah kepada kita, memang kita akan terluka dan sangat-sangat terluka. Ya. Saya faham.

Tetapi perasankah, apabila kita mula ‘membenci’ mereka, rasa ’sakit hati’ dengan sikap mereka, rasa hendak ‘membalas’ apa yang mereka lakukan, tidakkah anda melihat ‘kehitaman’ yang mula ‘menjamah’ jiwa anda?

Tidakkah anda melihat bagaimana syaitan mula ‘memeluk’ jiwa anda?

Tidakkah anda sedar iblis yang sedang ‘mentertawa’kan anda?

Apa bezanya anda, dengan mereka yang melakukan pelbagai perkara kepada anda itu?

Bukankah di dalam jiwa anda juga ada kebencian yang menjijikkan itu?

Bukankah di dalam akal anda, tiada rasional yang menyenangkan itu?

Jangan jual jiwa kita wahai saudara-saudarai yang saya cintai.

Jangan jual jiwa kita.


Biar Allah laknat mereka, biar Allah balas mereka!

Ada yang tersangat terluka, ada yang tersangat sakit hati, mungkin kerana diri sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kesilapan silam diri, mungkin kerana diri sudah berkorban pelbagai perkara agar suasana jernih kembali, tetapi terasa seperti tersangatlah bodoh dirinya dengan segala usaha itu apabila orang-orang itu buat dek sahaja.

Maka diangkat tangan dan berdoa: “Ya Allah, laknatilah mereka. Lihatlah mereka itu Ya Allah. Hitunglah mereka. Balaslah perbuatan mereka. Porak perandakanlah kehidupan mereka!” Dengan air mata kesakitan yang mengalir-alir.

Turunkan tangan kita itu. Hentikan doa itu. Jangan.

Apakah yang sedang ‘memeluk’ jiwa anda ketika anda mendoakan kecelakaan itu?

Adakah orang-orang itu memijak ISLAM anda? Adakah orang-orang itu menghina TUHAN anda? Tidak. Tidak dan tidak. Mereka hanya tidak menyenangi anda. Mereka hanya mengeji anda. Mereka hanya membuat spekulasi berkenaan anda. Mereka hanya memfitnah anda.

“Tapi aku dah usaha baiki diri aku. Ingat senang? Mereka nak apa? Sempurna macam malaikat?”

Ya. Saya faham susah. Saya faham. Saya faham kesakitan itu.

Tetapi kenapa kesabaran itu perlu dihentikan hari ini? Kenapa perlu melayan perasaan ‘terasa bodoh’ itu? Syaitan sedang membolak balikkan anda sebagaimana anak kecil membolak balikkan bola. Syaitan sedang menambah ranting-ranting kayu pada api kecil yang menanti membakar balak.

Tenang wahai saudara saudariku.

Angkat tanganmu kembali. Sebutlah: “Ya Allah, kekalkan kesabaranku. Lapangkan jiwaku. Dan AMPUNkanlah mereka semua itu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Mereka tidak mengetahui hal yang sebenar. Mereka tidak mengetahui motifku yang sebenar. Mereka tidak mengenaliku secara benar. Maka AMPUNkanlah mereka, dan AMPUNkanlah diriku yang mungkin menyebabkan semua ini berlaku. LAPANGkanlah jiwa mereka untuk menerimaku, dan teruslah LAPANGkan jiwaku untuk menerima mereka.”

Seka air mata tadi.


Macamlah mereka pun tak ada salah. Salah mereka lagi besar!

Kita bengang. Usaha kita untuk berbaik tidak diterima. Alasannya adalah dosa-dosa silam yang entah dari kurun ke berapa. Alasannya adalah alasan rapuh yang sebenarnya dengan beberapa penjelasan semuanya boleh diselesaikan. Salah silap kita diungkit-ungkit. Kecil dikorek-korek, yang besar lagi digolek-golek. Seakan kita memang tidak berhak untuk berbaik-baik dengan ‘golongan mereka’.

Kita bengang. Kita nak ungkit kesalahan mereka. Ya. Mereka ingat kita tidak tahu semua keaiban mereka?

“Diorang ungkit dosa-dosa aku, aku pun nak ungkit dosa-dosa mereka!”

Oh. Jangan-jangan. Berhenti sebentar. Lihatlah cermin. Lihatlah wajah anda semasa melaungkan ayat itu. Anda sukakah? Adakah itu anda yang anda suka?

Jangan rendahkan martabat anda.

Kita hamba Allah. Yang hendak mengajak manusia kepada kebaikan. Mengapa kita hendak memalukan mereka? Apakah itu membawa kepada kebaikan? Adakah dengan membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang serupa, ia membawa kepada kesatuan? Adakah selepas itu mereka akan baik dengan kita?

Tenang.


Kita selesaikan urusan kita. Mereka, kita doakan agar mereka dapat juga melaksanakannya.

Di dalam Langit Ilahi 3: Fanzuru, saya ada nyatakan berkenaan kata-kata seorang khatib di Jordan, yang menyatakan bahawa tanggungjawab kita dengan saudara kita adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Baik kepada saudara kita, membina hubungan yang diredhai Allah dengan mereka, cuba meminta maaf segala kesalahan kita, memaafkan semua kesalahan mereka, itu semua adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT sebenarnya.

Kita bukan mengharapkan kecintaan mereka. Kita bukan mengharapkan kasih sayang mereka. Kita bukan mengharapkan mereka memuji kita.

Kita hanya harapkan keredhaan Allah SWT.

Manakala mereka kepada kita, itu adalah mereka dengan Allah SWT. Mereka maki kita, spekulasi perihal kita, memburuk-burukkan kita, mengeji kita, memfitnah kita, membenci kita, tidak membalas kebaikan-kebaikan kita,tidak hendak melihat kepada perubahan-perubahan kita, itu semua adalah antara mereka dengan Allah SWT.


Mari menjadi ‘ibad Ar-Rahman

‘Ibad Ar-Rahman adalah hamba(yang mengabdikan diri) kepada Ar-Rahman, yakni Allah SWT. Jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka lihatlah salah satu ciri-ciri ‘ibad Ar-Rahman.

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;” Surah Al-Furqan ayat 63.

Dan lihatlah kebenaran bicara saya di atas, dengan kalam Allah SWT ini:

“Jadilah kau orang yang pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” Surah Al-A’raff ayat 199-201.

Jadilah pemaaf. Suruhlah perkara yang baik. Berpalinglah dari orang-orang jahil. Kalau dihasut syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya sekiranya kita benar bertaqwa, hendakkan keredhaan Allah, maka apabila syaitan berusaha ‘memeluk’ kita, maka kita akan ingat bahawa kita hamba Allah, segera kita menjauh dari syaitan dan mengambil jalan yang benar, yakni memaafkan dan mengajak kepada kebaikan.


Penutup: Peringatan ini, khas buat saya.

Jujurnya, artikel ini saya tulis khas buat saya. Jujurnya, jiwa saya sedang berlubang sekarang. Walaupun mungkin sudah tersembuh sedikit dengan ulah rakan-rakan di Jordan sepanjang hari tadi. Sengaja saya lewatkan artikel hari ini selewat-lewatnya. Memberi masa saya rasional dan berfikir semula.

Ya. Saya sudah kata saya faham apa perasaannya. Memang rasa macam bodoh.

Tetapi jalan ‘orang-orang bodoh’ inilah yang hendak membawa kita masuk ke syurga.

Terus istiqomah memberikan kebaikan kepada orang lain. Walaupun orang lain membenci kita. Jangan ungkit usaha kita, perubahan kita, kebaikan kita kepada mereka. Mereka bukannya tidak tahu. Dan kita juga tidak buat semua itu untuk keredhaan mereka.

Kita sebenarnya hanya ingin ketenangan di dalam jiwa. Tidak suka sengketa. Tidak suka benci membenci. Tapi dah orang tak mahu. Kita nak buat macam mana kan?

Maka kita doakan agar Allah memperbaiki hubungan kita dengan manusia.

Kita bukan tidak berusaha. Nanti di hadapan Allah kita berdiri, kita boleh bercakap dengan Allah dalam keadaan tersenyum apabila Allah bertanya mengapa hubungan kita dengan mereka itu tidak baik. Kita menjawab: “Saya sudah berusaha ya Allah.” Dengan yakin dan tidak takut.

Maafkan saya. Artikel ini khas untuk pujuk diri saya.

Semoga anda juga mendapat manfaatnya.

COPY AND PASTE : langitilahi.com,Hilal Asyraf

October 19, 2010

Allah Tidak Pernah Meninggalkan Kita...

Bismillahi Walhamdulillah...

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad)tentang Aku,maka sesungguhnya Aku dekat.Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu....." (2:186)

"kak,saya rasa Allah tak adil dengan saya.Apa yang saya minta tak dapat.Saya dah jadi tawar hati.."luah Nora.Air matanya menitis terus..

Saya terkejut.Kaget dengan pernyataannya.Pernyataan yang tidak boleh di ambil ringan..

Saya cuba memujuknya agar bertenang.Saya cuba mengingatkannya kembali akan kasih sayang Allah.Mengingatkannya dengan ayat-ayat Allah.Nora juga punya basis agama yang mantap.Tapi sayang,satu pun seakan tidak masuk ke hatinya.Bahkan dia mengeluarkan hujah atas setiap kata-kata saya.

Saya jadi buntu.

Tapi saya tahu,saya tidak boleh membiarkannya begini,syaithan akan mudah mengambil kesempatan atas kekacauan hati dan fikirannya..

"em,antara ahli keluarga Nora,siapa yang paling kenal dan memahami Nora?" Saya cuba mengambil pendekatan logik.

"Mak,"jawabnya sepatah

"Agak-agak mak tahu tak saiz kasut Nora?"

Dia mengangguk.

"agak-agak mak tahu tak Nora suka makan apa?"

Dia mengangguk lagi.

"Rasa-rasanya mak tahu tak apa yang Nora suka dan Nora tak suka?"

"Mestilah tahu,"

Saya tersenyum.

"Mungkin tak mak Nora nak Nora failed kat IPT ni?"

"Takkanlah.."

"Nora,mak Nora yang melahirkan Nora tahu serba serbi tentang Nora.Sentiasa nak yang terbaik untuk Nora.Tapi Allah tu,Dia yang ciptakan Nora,Dia dah menggariskan takdir untuk Nora.Dia yang menetapkan ajal maut,jodoh dan rezeki Nora.Dia lebih sayangkan Nora daripada mak Nora sayangkan Nora,"

Nora diam membisu.Air matanya terus berjatuhan lagi.

"Allah yang Maha Penyayang itu menciptakan Nora.Dia cukupkan segala keperluan hambaNya itu sehingga Nora berjaya menjejakkan kaki ke IPT.Satu hari,Nora berdoa memohon sesuatu kepada Tuhannya.Tuhannya itu Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya itu.Dia tahu apa yang diminta Nora itu tidak baik untuk dirinya.Dia lalu menangguhkan permintaan itu dan menggantikannya dengan yang lebih baik...,"

Saya menyudahkan analogi itu.Nora terus menangis.Kali ini dia nampak lebih rasional. Moga dia mula berfikir dengan lebih jernih..



Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya,bahkan kitalah sebenarnya yang terlalu cepat berprasangka.

Analogikan saja seperti anak kecil.Andai anak kecil berusia 1 tahun ingin bermain dengan api,adakah ibunya akan membenarkan walaupun sang anak merengek dan menangis dan merajuk? Pasti tidak.Kerana si ibu mengetahui akan bahaya api,sedang sang anak masih belum dapat memikirkan hikmah larangan si ibu.

Allah tidak pernah meninggalkan kita.Dia sentiasa ada mendengarkan permohonan doa kita.Dia tidak mungkin memungkiri janjiNya bila mengatakan akan mengabulkan,tapi... ada syaratnya..

"....hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu,agar mereka memperoleh kebenaran," (2 :186)

Justeru saat masih belum dikabulkan permohonan,periksalah diri kita,mungkin masih ada sisi dosa yang menyebabkan doa terhijab.Andai kita telah benar-benar berusaha,maka ketahuilah ada 3 cara Allah mengabulkan doa kita.

Samada Dia langsung mengabulkannya, atau Dia menggantikannya dengan yang lebih baik,atau Dia menangguhkannya dan membalasnya di hari akhirat.

October 9, 2010

Cinta dan Jodoh...

Bismillahi Walhamdulillah...

Tiit..tiit..,Bunyi mesej.

"Salam Kak,perlukah kita menolak orang lelaki yang ingin 'berkawan' dengan kita?" Tanya seorang junior di USM.

Saya tersenyum.

"Kak,ramai dah kawan saya yang dah kahwin.Kalo jumpa,mesti tanya saya bila lagi,tak sukanya..." adu seorang staff.

"Kak,macam mana kita nak tau kalau dia adalah jodoh kita.Kalau dia datang nak 'berkawan',tapi kita tolak,macam mana kalau sebenarnya dia memang betul-betul jodoh kita?"Tanya seorang junior penuh keliru.

Akhir-akhir ini saya banyak dapat persoalan seperti ini.Baik daripada junior yang sedang menghadapi fasa kematangan zaman remajanya,atau daripada mereka yang telah habis belajar dan bekerja.Hati jadi resah melihatkan teman-teman sebaya semakin ramai yang menikah.Risau dengan persoalan jodoh.

Saya ada sebuah kisah.Tentang cinta dan jodoh.Saya mempunyai seorang sahabat semasa di kampus dulu.Kami belajar di kolej matrikulasi yang sama,tapi saya mengenalinya dengan lebih dekat semasa di kampus.Dia ber'couple',sejak di sekolah menengah.Guru-gurunya menyokong,ibunya menyukai lelaki tersebut,malahan keluarga lelaki tersebut juga seakan merestui hubungan mereka.

Tahun pertama di USM,dia mengenali tarbiyah dengan lebih dekat.Dia mengetahui hakikat 'couple' yang dibenarkan dalam islam~tiada couple sebelum nikah. Dengan rasa hati yang sangat berat,dia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan 'couple'nya.Berat,pedih,sakit~ itu yang dirasakannya untuk terus bertahan dengan keputusan itu,untuk mencari redha Allah.

Nyata sang lelaki tidak dapat menerima keputusan tersebut.Dia terus-terusan menghubungi,mendesak dan bertanya.Sahabat saya menyatakan pendiriannya dengan tegas di gagang telefon,walaupun akhirnya dia juga menangis .Keluarga sang lelaki bertanya,Ibu sahabat saya juga bertanya apa yang berlaku. Lama akhirnya baru sahabat saya dapat bangkit semula dan keluar daripada kesedihannya.

Ketika hampir tamat pengajian,sahabat saya mendengar khabar yang lelaki tersebut ingin masuk meminang.Tamat pengajian,lelaki itu sungguh-sungguh masuk meminang dan akhirnya mereka menikah.Alhamdulillah ijab kabulnya berlngsung bulan lepas.Moga mereka berbahagia dunia dan akhirat,amin..

SOAL JODOH

Apa yang ingin saya sampaikan ialah :

Jodoh itu pasti.Telah Allah tetapkan di lauh mahfuz siapakah pasangan kita.Cuma dia ingin melihat siapakah antara kita yang akan memilih jalan yang penuh berkah menuju pernikahan itu.

Andai kita bercinta,tetapi telah Allah tetapkan bahawa bukan si dia jodoh kita,maka dia tetap bukan jodoh kita.Sahabat saya bercinta,tanpa dia mengetahui adakah itu adalah jodohnya atau bukan.Setelah dia memutuskan hubungan untuk mencari redha Allah,ternyata memang itu adalah jodoh Allah untuknya.Dan dia akhirnya berjaya mengelak jalan dibenci Allah dalam perjalanan menuju ke sebuah pernikahan tersebut.

"Maka Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan jalan ketaqwaan.Sungguh beruntung orang yang menyucikannya.Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya," (As-syams;8-10)

PILIHAN

Kita punyai pilihan untuk mewujudkan sebuah pernikahan yang penuh berkah.Keberkahan itu tidak bermaksud rumah tangga nya kelak akan aman tanpa menghadapi sebarang masalah dan perselisihan.Namun keberkahan itu membawa maksud Allah akan sentiasa menyertai mereka dalam setiap keadaan,memberi jalan keluar dalam setiap permasalahan yang dihadapi.Justeru perselisihan mendekatkan lagi mereka kepada Allah dan menguatkan lagi ikatan cinta,mawaddah wa rahmah.

Bercinta sebelum nikah atau tidak,jodoh kita yang termaktub di Lauh Mahfuz tetap tidak akan berubah.Bezanya adalah keberkahan dan redha Allah yang akan mengiringi kita apabila kita mengikut apa yang digariskanNya.Bukankah hakikat sebuah pernikahan itu untuk mencapai redha Allah?

October 8, 2010

Hikmah dari Sebuah KCB...

Bismillahi walhamdulillah...

Raya lepas,saya sempat menonton drama KCB Spesial Ramadhan.56 episod tak silap. Ternyata drama ini dikembangkan dengan sangat baik,lebih best daripada filemnya. Keluar daripada sekadar persoalan cinta dan jodoh(walaupun topik itu tetap ada),KCB drama ini turut memaparkan dakwah masyarakat,Ketaatan seorang anak,bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap mereka yang ingin membersihkan diri dari dosa,menjaga hati dan bersikap professional.paling menarik ~ berhusnu zhon dengan Allah atas setiap ujian yang didatangkanNya.



Bermula dengan Azzam dan Anna yang diuji keutuhan rumahtangga mereka,kisah berlanjut denga ujian-ujian yang lain.Bukanlah orang yang soleh itu lepas daripada ujian Allah,bahkan merekalah yang paling banyak menerima ujian. Justeru ujian-ujian itu tambah mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Saya jadi terharu melihat watak-watak dalam drama ini sentiasa mengadu dan memohon pertolongan Allah dalam tahajjud mereka.Juga ungkapan "Sebaiknya kita semua kembali kepada Allah.."di awal setiap pembicaraan mereka tatkala di uji. Tersentuh apabila dengan mudah hati mereka tunduk dan patuh apabila di bacakan ayat-ayat Allah. Saya jadi teringat pada satu ayat Al-Quran :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah,gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka,bertambah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal,"
(Al-Anfal;2)


Saya juga sangat tersentuh dengan watak Furqan yang sentiasa taat dan berlembut dengan ibunya,walau sebesar manapun kesalahan yang ibunya lakukan.Jujur,emosi saya jadi terpancing dengan sikap ibunya yang agak keterlaluan,sampai saya jadi bingung dengan kehalusan akhlak Furqan terhadap ibunya.Satu akhlak yang buat saya terkesan,tatkala dipuji akan kejayaan dan akhlaknya,Furqan akan mengatakan :
"Alhamdulillah,itu kerana ibu yang mendidik Furqan dengan baik selama ini,"

Wah,hati ibu mana yang tidak tersentuh dan gembira apabila mendengar ungkapan begitu daripada anaknya.Begitu juga dengan Ust Ilyas dan ibunya. Saya jadi termotivasi untuk berbakti dan berakhlak dengan lebih baik kepada kedua orang tua saya.

Tanpa ada adegan berpegang tangan,usapan atau apa-apa adegan suami isteri yang bukan- bukan,mawaddah wa rahmah serta romantis rumah tangga Azzam dan Anna tetap dapat dirasa.Lama saya mencari drama yang benar-benar boleh menerapkan nilai-nilai islam seperti ini.



Saya boleh jamin sepenuhnya belum ada drama seperti ini di Malaysia.Bukan terlalu memuji,tetap masih ada kelemahannya,cuma saya yakin manfaat dan kebaikannya lebih dominan.Ada drama yang ingin mengangkat tema dakwah,tapi uslub dakwahnya tidak kena,berdua-duaan antara lelaki dan perempuan,malah membuatkan penonton lebih keliru.

Walaupun episod drama ini agak panjang(sehingga roommate saya kata bosan dan meleret,huhu),tapi saya berpuas hati,kerana setiap isu dan tema yang diangkat dikupas dengan baik,sehingga kita boleh mendapatkan hikmah dan ilmu baru dalam setiap episod.Drama di Malaysia biasanya sekitar 20-30 episod,tapi isunya kebiasaanya tergantung dan melompat-lompat.

Mudah-mudahan produksi di Malaysia boleh belajar banyak daripada produksi KCB ini. Untuk warga produksi KCB,tahniah!Teruskan jihad kalian dalam bidang ini.Moga lebih banyak hati-hati yang akan tersentuh melalui keindahan islam yang dipaparkan.Untuk penggemar drama Nur Kasih,Janji Kekasih,Cinta Sempurna, Twilight Saga,etc,silakan menonton drama ini (",)