September 8, 2011

Taare Zameen Par ~ Setiap Anak adalah Istimewa (^_^)

Bismillahi walhamdulillah...

Disleksia.

Pernah dengar?

Terlibat dengan pendidikan awal kanak-kanak,istilah ini tidak begitu janggal pada pendengaran saya, cuma saya tak pernah ambil tahu secara serius.

Cuti raya Aidilfitri baru-baru ini, abang saya mengenalkan sebuah filem Hindustan kepada saya. Katanya, saya pasti suka kerana ia mengisahkan tentang kanak-kanak.Saya menonton filem tersebut dengan agak teruja setelah sekian lama meninggalkan dunia hindustan.

Taare Zameen Par



Mengisahkan tentang seorang kanak-kanak,Ishaan yang mengalami Disleksia.Terpaksa mengulang kelas selama setahun kerana masih tidak dapat membaca dan menulis walaupun telah berusia 9 tahun dan mengikuti kelas pembelajaran secara normal.Guru menganggapnya nakal, malas dan selalu membandingkan dengan abangnya yang bijak.Akhirnya sekolah mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan Ishaan meneruskan persekolahannya.

Ayahnya yang tidak mengetahui anaknya mengalami Disleksia bertindak menghukumnya yang ber'main-main' dan tidak belajar bersungguh-sungguh ke sekolah berasrama.Ibunya tidak dapat menghalang walaupun hatinya berat.

Ishan mengalami tekanan psikologi yang hebat.

Rasa ditinggalkan.

Rasa tidak di sayangi.

Ditambah dengan layanan yang diterima di sekolah baru. Dia masih tidak dapat membaca dan menulis.Setiap kali melakukan kesilapan,hanya jerkahan dan tengkingan yang di terima.Dia dilabel bodoh dan malas.Walaupun hakikatnya dia berusaha keras untuk memperbaiki dirinya.Dia berusaha keras untuk membaca dan menulis,agar ibubapanya akan kembali menyayanginya dan mengambilnya dari sekolah berasrama itu..



Dia sangat ingin membaca dan menulis, tetapi tidak mampu.Ibarat si lumpuh yang dipaksa berlari.. Jerkahan dan tengkingan yang diterima menjadikan Ishaan jatuh semakin dalam.Peribadinya berubah 180'.

Pemurung

Hilang keyakinan diri

Rasa tidak berguna

Menyendiri

Senyuman hilang sepenuhnya dari wajahnya.



Sehingga akhirnya seorang guru seni sementara datang mengajar di sekolah tersebut. pengalamannya mengajar di sebuah sekolah kurang upaya membolehkannya mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh Ishaan.Dengan susah payah, akhirnya dia berjaya mengembalikan keyakinan dan senyuman pada wajah si kecil itu.





Kenapa saya tertarik dengan cerita ini?

Menonton cerita ini membuatkan saya langsung mengimbas anak-anak didik saya di tadika. Memang ada yang agak mengambil masa untuk boleh membaca dan menulis berbanding beberapa kawan-kawan mereka yang lain.Dan jujur,adakala saya jadi kurang sabar. Melihat wajah Ishaan yang berusaha keras tetapi tidak mampu persis wajah mereka apabila tidak dapat menjawab soalan saya..

Mata mereka ingin mengatakan :

"Tea, saya tak tahu,"

Tapi suara mereka tersekat dengan wajah tidak sabar saya.Mungkin takut andai dimarahi..

Melalui cerita ini,saya benar-benar merasakan saya masih gagal menjadi seorang guru tadika yang baik.Saya turut tersentuh dengan watak guru yang dibawakan oleh Aamir Khan.Seorang guru yang benar-benar menjiwai dan memahami profesi perguruannya.Sentiasa tersenyum,sabar dan berusaha pelbagai cara untuk mengembalikan keyakinan dan senyuman si kecil.

Kisah ini benar-benar memotivasi saya.Hari pertama persekolahan selepas cuti raya tempoh hari,saya renung satu persatu wajah anak-anak didik saya,dan saya tersenyum sendiri.Saya ingin jadi seorang guru yang benar-benar mendidik,bukan sekadar mengajar.

Terima kasih Allah yang menyampaikan hikmah ini melalui sebuah filem Hindustan(^_^)

2 comments:

  1. MasyaAllah....Alhamdulillah Allah memberi hidayah untuk sdr menjadi pendidik. Bukan kerja mudah, tapi ia satu amanah yg besar. Sy bkn peminat hindustan, tp akan cari cerita ni untuk ambil iktibar. Semga Allah memprmudahkan urusan dan memberkati usaha sdr.

    ReplyDelete