May 25, 2011

Pasar Malam...

Bismillahi walhamdulillah..

Tadi pergi ke pasar malam.Setiap kali melalui pasar,baik pasar pagi atau pasar malam,pasti akan lahir satu perasaan. Perasaan sayu,sedih,entahlah, tak tahu nak definisikan. Yang pasti,saya tidak suka dengan perasaan itu.Kenapa?Entah..

Mungkin kerana akan teringat pengalaman ketika kecil dulu.Menolong ayah di pasar pagi. Dulu ayah menjual nasi lemak. Setiap hujung minggu,pasti akan bangun awal pagi,untuk ikut tolong ayah di pasar.Ayah dan emak pula biasanya akan bangun seawal 3 hingga 4 pagi untuk mula memasak.Bila bangun waktu subuh,pasti akan terasa rumah berbahang,kerana masakan di dapur.

Tugas saya adalah mengutip pinggan orang yang selesai makan di pasar.Kalau kakak saya ikut bersama,biasanya dia akan menolong memasukkan bungkusan nasi ke dalam plastik. Dua orang adik saya?Masih terlalu kecil untuk membantu. Segan sebenarnya,lebih-lebih lagi kalau pekerja-pekerja kilang yang lelaki berkumpul ramai-ramai untuk makan.Umur saya ketika itu 8 tahun.

Adat orang berniaga.Bukan pendapatan tetap seperti makan gaji.Tergantung.Ada hari jualan nasi lemak habis sampai lima tong.Adakala baki terlalu banyak.Balik dari berniaga,perlu mengemas dan membasuh dahulu segala bekas dan peralatan.Penat.Memang penat.

Saya selalu memerhatikan pelanggan yang datang.Mereka mengenali saya sebagai anak 'tauke'. Adakala mata mereka menatap dengan pandangan simpati.Mungkin kerana melihatkan saya yang masih terlalu kecil untuk menolong di pasar. Saya tidak suka. Saya tidak suka pandangan simpati itu. Saya selalu cuba menunjukkan saya gembira dengan apa yang saya lakukan.Saya tidak akan bersedih apabila jualan tidak habis.Saya tidak suka dipandang simpati..

Sama.

Sekarang,apabila pergi ke pasar,saya suka memerhatikan penjual,berbandng barang jualannya.Saya ingin melihat air mukanya.Ada yang berwajah riang,apabila barang jualan habis atau tinggal sedikit. Ada yang agak keruh air mukanya kerana barang jualan masih banyak berbaki.

Saya suka mencari satu wajah. Wajah kepuasan. Wajah yang menggambarkan kebesaran jiwa pemiliknya. Wajah yang sentiasa ceria dan penuh semangat samada jualan habis atau tidak.Wajah yang sentiasa cerah dan penuh harapan.Wajah yang menggambarkan kelapangan jiwa,yang menyerahkan segala keputusan akhir rezekinya di tangan Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh melalui jualan. Wajah yang mengharapkan Allah redha atas setiap titik peluh,penat lelah dan usahanya.Wajah yang sentiasa redha samada Allah menetapkan jualannya habis atau sebaliknya pada hari itu.Bukan wajah yang meletakkan redhanya pada takdir Allah hanya selepas jualan habis. Jika jualan tidak habis,maka rungutan yang akan kedengaran.Bukan..

Dan tadi,saya jumpa wajah yang cerah itu (^_^)

May 17, 2011

Saya Bukan Mujahidah Akhir Zaman

Bismillahi walhamdulillah...

Sebuah tugasan,yang perlu di laksanakan,lalu saya kongsikan..

MUJAHIDAH AKHIR ZAMAN

Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya

Lirik lagu ‘Puteriku sayang’ oleh kumpulan nasyid Hijjaz. Em,rasanya lagu ini pun dah cukup menggambarkan bagaimana seharusnya seorang mujahidah solehah akhir zaman.

Sebenarnya kita mempunyai sekian banyak peribadi-perbadi contoh mujahidah solehah , sejak zaman sebelum baginda rasulullah SAW diutuskan lagi. Masyitah tukang sikat anak Firaun, Asiah isteri firaun, kisah dua puteri Nabi Syuaib, dan kisah Hajar dan Sarah, isteri Nabi Ibrahim AS. Sampai pada zaman Nabi SAW pula,lebih banyak lagi contoh yang akan kita temui. Para ummul mukminin khususnya,ditambah lagi dengan para sahabiah seperti Khaulah Al-Azwar, Ummu Sulaim, Sumayyah binti Khayyat, Asma Abu Bakar, Nusaibah dan banyak lagi. Dan kini,kita tetap masih mempunyai contoh para mujahidah abad ke 20 seperti Ummu Muhammad,Lathifah As Suri, Zainab Al Ghazali dan banyak lagi.

Menelusuri kisah mereka membuatkan kita akan terfikir satu perkara. Apakah persamaan faktor yang menyebabkan nama mereka harum mewangi dalam sejarah sebagai tokoh mujahidah solehah? Zaman yang berbeza,waktu yang berbeza,latar belakang yang berbeza, namun menghasilkan keperibadian yang seakan sama, seakan lahir dari acuan yang sama.

Masyitah yang syahid demi mempertahankan aqidahnya, Asiah yang tidak gentar walaupun terpaksa menghadapi suaminya Firaun, dua puteri Syuaib yang teguh mempertahankan sifat malu di hadapan Nabi Musa, Ummu Sulaim yang punya tekad dan keyakinan yang mantap tatkala menerima pinangan Abu Thalhah, Asma Abu Bakar yang tidak menjadikan berbadan dua sebagai alasan untuk mengurangkan amal, Ummu Muhammad yang langsung sujud syukur mendengar berita kesyahidan suami tercinta, Lathifah As -Suri yang menjadi sayap kiri perjuangan perjuangan As-Syahid Hasan Al Banna. Ah,terlalu banyak. Sekadar tulisan nampaknya takkan mampu menulis dengan sebenar-benarnya catatan emas kehidupan mereka.



Satu persamaan antara kesemua mereka adalah ~ keimanan yang teguh kepada Allah. Faktor inilah yang membuatkan mereka seakan – akan lahir daripada acuan yang sama. Ya,acuan qurani. Apabila disebut nama Allah,gementar hati mereka. Apabila dibacakan ayat- ayat Allah,bertambah kuat iman mereka.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayatNya,bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.” (Al-Anfal : 2)

Hingga akhirnya melahirkan keyakinan dan tekad yang bulat terhadap Tuhan mereka. Mereka tidak memiliki diri mereka sendiri, Allah lah Pemilik Mutlak jiwa-jiwa mereka. Tidak ada sesuatu yang akan menimpa mereka melainkan apa yang telah Allah tetapkan atas mereka. Justeru,tiada kebimbangan melainkan husnu zhon atas setiap percaturanNya.

“ Katakanlah:Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan hanya kepada Allah bertawakkallah orang-orang yang beriman” (At –Taubah : 51)

Lalu kita kemudiannya akan berfikir pula. Aku juga seorang wanita. Aku juga seorang Muslimah. Aku juga beriman kepada Allah. Aku juga yakin pada takdirNya. Namun mengapa aku tidak mampu jadi seperti mereka? Mengapa aku sering sahaja terdorong oleh nafsu ammarahku,sedangkan Hajar ibu Ismail AS begitu penyabar? Mengapa aku sering saja memberi alasan dalam menambah amal ibadahku,sedangkan Asma Abu Bakar turun naik ke Gua Thur dalam keadaan sarat berbadan dua? Mengapa aku begitu cepat menjadi lemah dengan tekanan sekeliling walhal aku bukan berhadapan dengan Firaun seperti Masyitah atau Asiah?

Kalau boleh di analogikan iman itu mencapai tahap sempurna pada tahap 100%,mungkin iman para mujahidah tersebut berada di tahap 90% dan ke atas. Lihat saja pengorbanan dan amal mereka.

Kita? Bagaimana dengan wanita Muslimah umum seperti kita? Yang masih lagi tenggelam timbul berusaha mencapai khusyuk dalam solat. Yang masih lagi berkira-kira untuk menghulurkan sedeqah. Yang masih lagi timbul keraguan dan rungutan atas ujianNya. Yang masih lagi terlintas dalam hati, minat pada hiburan – hiburan jahiliyah.

Iman perlu dibuktikan dengan amal,perlu di baja dengan ibadah, disirami dengan ilmu yang benar. Iman itu juga mempunyai cabang-cabangnya :

“Iman itu terdiri daripada enam puluh sekian atau tujuh puluh sekian cabang. Yang paling utama adalah ucapan ‘La Ilaha Illallah’, yang terendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan malu adalah salah satu cabang dari iman” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ya,kita mengaku dengan hati dan lisan akan Allah sebagai Ilah, tapi masih terdapat lompong kosong yang perlu kita isi. Masih terdapat cabang-cabang iman yang belum kita dalami,dan belum kita amalkan. Justeru menyebabkan kita belum mampu mencapai target seperti mana yang Allah kehendaki.

Jangan berputus asa. Inilah proses, proses tarbiyah. Andai Allah ciptakan kita dengan sesempurna akhlak dan amal, tentu Rasulullah tak perlu lagi di utuskan sebagai uswah buat kita semua. Jadi,teruskan memperbaiki amal!