September 20, 2011

Mak & Ayah...

Bismillahi walhamdulillah..

Saat ni,begitu cepat tersentuh bila teringatkan mak dan ayah,entah kenapa.Balik raya lepas,saya renung wajah mak dan ayah satu persatu,lama-lama... Mula kelihatan wajah tua mereka,mula nampak kudrat mereka yang mula terbatas...Saya cuba sedaya mungkin meringankan beban mereka,melakukan segala kerja yang perlu di rumah.Ya,saya mungkin tak dapat membantu banyak dari sudut kewangan,jadi biarlah saya kerahkan segala tenaga yang ada untuk kerja-kerja yang mampu saya lakukan.Saya gembira bila ada senyuman di wajah mereka..

Pulang ke rumah,saya cuba peruntukkan sepenuhnya untuk mak dan ayah.Kalau sedang duduk-duduk rehat,saya akan ambil kesempatan memicit pinggang,kaki mereka,bercerita tentang perkembangan taska dan tadika,cuba menggembirakan mereka.Mendengar cerita-cerita mereka..Ya,banyak sebenarnya yang mereka ingin ceritakan,walaupun kadang-kadang cerita yang berulang,saya akan tetap dengar dengan gembira.Sebab saya tak tahu berapa banyak lagi masa yang saya ada untuk mendengar suara mereka.Saya tak tahu berapa banyak lagi masa yang saya ada untuk berbakti pada mereka..

Ayah pernah bercadang untuk membeli teksi yang sedang di sewanya.Saya kurang setuju kerana teksi itu sudah lama dan sering mengalami masalah.Kerap duit perlu dikeluarkan untuk membaikinya.Saya berbincang dengan abang.Jawapannya ringkas,tapi cukup untuk membuatkan saya berfikir saya masih belum berbakti sepenuhnya kepada ayah. Abang cakap :

"Tak kisahlah teksi tu selalu rosak atau tak,asalkan ayah gembira dengan apa yang dia buat,tak apalah.Ayah bukan larat betul nak bawa teksi pun,biarlah ada kenderaan untuk dia berjalan-jalan,"

Ya,asalkan ayah gembira.Berapa lama lagi masa yang saya ada untuk menggembirakannya..

Hari lahir saya yang lepas,saya telefon rumah selepas subuh.Saya tak menginginkan ucapan hari lahir.Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih.Terima kasih kepada mak dan ayah yang telah melahirkan saya. Terima kasih kerana sudi membesarkan saya. Terima kasih kerana sudi menyekolahkan saya sehingga saya berjaya sampai ke universiti. Terima kasih kerana mengizinkan saya berada di Penang. Terima kasih kerana tidak jemu mendoakan saya.Dan ayah menangis mendengar kata-kata saya...

Saat ini,apabila melihat wanita lingkungan 50an yang bekerja keras mengutip pinggan di gerai makan,menyapu sampah,menjual barang rumah ke rumah,saya akan langsung teringatkan mak.Bila melihat pakcik seusia ayah bersusah payah meniaga dan membuat kerja-kerja berat,ingatan saya pantas teringatkan ayah..Dalam hati saya bertekad tidak akan membiarkan mereka susah pada usia begini.Namun saya tahu,saya masih belum mampu melaksanakan tekad saya sepenuhnya..

Mak dan ayah adalah antara laluan utama saya ke syurga.Berada di Penang,kadang-kadang membuatkan saya rasa tak dapat berbakti sepenuhnya kepada mereka..Jadi saya cuba peruntukkan masa khusus untuk hubungi mereka,saya akan sentiasa gembira menerima panggilan telefon mereka.Biar kewangan saya sesempit mana,tapi saya tak akan usik bahagian yang telah saya peruntukkan untuk mereka.

Dan saya sangat tahu,segala yang telah dan sedang saya lakukan ini pun,masih belum cukup untuk dinamakan berbakti kepada mereka.Saya sangat tahu bahawa saya hari ini adalah berkat doa mereka yang tidak jemu-jemu mendoakan saya.Doa mak dan ayah...Saya berharap Allah menerima amal saya di sini,dan imbuhannya juga sampai pada mak dan ayah yang mengizinkan saya berada di sini.

Moga Allah bagi kekuatan untuk saya berbakti kepada mak dan ayah sebaik-baiknya.Begitu juga kepada abang,kakak dan adik-adik saya.Berbakti itu bukan sekadar sayang di dalam hati,tapi perlu diterjemahkan dengan amal nyata. Amal itu bukan sekadar cukup memberikan wang bulanan dan membelikan barang keperluan,tapi jagalah hatinya,jagalah perasaannya,berlemah lembutlah dalam tutur kata kepadanya,bantulah kudratnya yang semakin melemah..

Saya ingin menjadi anak soleh agar dapat berkumpul dengan mak,ayah dan ahli keluarga di syurga kelak,amin..


Ayah yang tegas,tapi sangat memikirkan anak-anaknya(^_^)


Mak yang tak jemu mendoakan (^_^)


Bersama keluarga dalam trip keluarga ke Genting.Percutian yang sangat bermakna.Terima kasih kepada angah dan alang yang banyak menyumbang(^_^)~Alang tiada dalam gambar,sebab kena mengambil gambar,huhu

September 8, 2011

Taare Zameen Par ~ Setiap Anak adalah Istimewa (^_^)

Bismillahi walhamdulillah...

Disleksia.

Pernah dengar?

Terlibat dengan pendidikan awal kanak-kanak,istilah ini tidak begitu janggal pada pendengaran saya, cuma saya tak pernah ambil tahu secara serius.

Cuti raya Aidilfitri baru-baru ini, abang saya mengenalkan sebuah filem Hindustan kepada saya. Katanya, saya pasti suka kerana ia mengisahkan tentang kanak-kanak.Saya menonton filem tersebut dengan agak teruja setelah sekian lama meninggalkan dunia hindustan.

Taare Zameen Par



Mengisahkan tentang seorang kanak-kanak,Ishaan yang mengalami Disleksia.Terpaksa mengulang kelas selama setahun kerana masih tidak dapat membaca dan menulis walaupun telah berusia 9 tahun dan mengikuti kelas pembelajaran secara normal.Guru menganggapnya nakal, malas dan selalu membandingkan dengan abangnya yang bijak.Akhirnya sekolah mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan Ishaan meneruskan persekolahannya.

Ayahnya yang tidak mengetahui anaknya mengalami Disleksia bertindak menghukumnya yang ber'main-main' dan tidak belajar bersungguh-sungguh ke sekolah berasrama.Ibunya tidak dapat menghalang walaupun hatinya berat.

Ishan mengalami tekanan psikologi yang hebat.

Rasa ditinggalkan.

Rasa tidak di sayangi.

Ditambah dengan layanan yang diterima di sekolah baru. Dia masih tidak dapat membaca dan menulis.Setiap kali melakukan kesilapan,hanya jerkahan dan tengkingan yang di terima.Dia dilabel bodoh dan malas.Walaupun hakikatnya dia berusaha keras untuk memperbaiki dirinya.Dia berusaha keras untuk membaca dan menulis,agar ibubapanya akan kembali menyayanginya dan mengambilnya dari sekolah berasrama itu..



Dia sangat ingin membaca dan menulis, tetapi tidak mampu.Ibarat si lumpuh yang dipaksa berlari.. Jerkahan dan tengkingan yang diterima menjadikan Ishaan jatuh semakin dalam.Peribadinya berubah 180'.

Pemurung

Hilang keyakinan diri

Rasa tidak berguna

Menyendiri

Senyuman hilang sepenuhnya dari wajahnya.



Sehingga akhirnya seorang guru seni sementara datang mengajar di sekolah tersebut. pengalamannya mengajar di sebuah sekolah kurang upaya membolehkannya mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh Ishaan.Dengan susah payah, akhirnya dia berjaya mengembalikan keyakinan dan senyuman pada wajah si kecil itu.





Kenapa saya tertarik dengan cerita ini?

Menonton cerita ini membuatkan saya langsung mengimbas anak-anak didik saya di tadika. Memang ada yang agak mengambil masa untuk boleh membaca dan menulis berbanding beberapa kawan-kawan mereka yang lain.Dan jujur,adakala saya jadi kurang sabar. Melihat wajah Ishaan yang berusaha keras tetapi tidak mampu persis wajah mereka apabila tidak dapat menjawab soalan saya..

Mata mereka ingin mengatakan :

"Tea, saya tak tahu,"

Tapi suara mereka tersekat dengan wajah tidak sabar saya.Mungkin takut andai dimarahi..

Melalui cerita ini,saya benar-benar merasakan saya masih gagal menjadi seorang guru tadika yang baik.Saya turut tersentuh dengan watak guru yang dibawakan oleh Aamir Khan.Seorang guru yang benar-benar menjiwai dan memahami profesi perguruannya.Sentiasa tersenyum,sabar dan berusaha pelbagai cara untuk mengembalikan keyakinan dan senyuman si kecil.

Kisah ini benar-benar memotivasi saya.Hari pertama persekolahan selepas cuti raya tempoh hari,saya renung satu persatu wajah anak-anak didik saya,dan saya tersenyum sendiri.Saya ingin jadi seorang guru yang benar-benar mendidik,bukan sekadar mengajar.

Terima kasih Allah yang menyampaikan hikmah ini melalui sebuah filem Hindustan(^_^)