Showing posts with label usrati. Show all posts
Showing posts with label usrati. Show all posts

September 17, 2012

Bahaya Lidah vs Keluarga Sakinah

Bismillahi walhamdulillah...

"woi,takde otak ke?"

"kecik-kecik taknak mampus, da besar menyusahkan orang"

"bodoh tak boleh di ajar"

"kau jangan nak kurang ajar"

Banyak lagi ayat-ayat kasar dan kurang sopan yang boleh di reka, atau yang pernah kita dengar-mungkin?

Semuanya melibatkan kolaborasi penggunaan tiga anggota penting - hati, akal, lidah. Dan lidah akhirnya yang mengeluarkan ayat dalam bentuk nyata.


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan yang ringkas dari nabi SAW,tapi sangat mendalam. Tidak meletakkan keutamaan berkata baik kepada siapa,bermakna kita harus mengaplikasikannya terhadap siapapun di sekeliling kita samada keluarga,  saudara mara, guru, rakan-rakan,jiran tetangga, penjual ikan, pekedai, etc.

Cuma saya tertarik untuk mengaitkannya dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Keluarga merupakan unit asas masyarakat.Justeru keluarga yang porak peranda, saling menyakiti, tidak saling menghormati ~ tidak akan mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni, bagaimana pula jika ingin bersama-sama ke syurga kelak...

Saya masih ingat ketika saya masih kecil, saya juga biasa bercakap kasar,apatah lagi ketika marah atau bergaduh dengan adik beradik, lidah dengan laju akan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Telinga saya juga biasa menadah hamburan kata-kata yang tidak enak.

Namun, kesannya sangat berbeza apabila hamburan kata-kata yang kurang enak itu saya terima tatkala saya masih berada pada fasa kanak-kanak sehingga remaja dengan kata-kata itu saya terima tatkala berada pada fasa dewasa. Apabila masih kanak-kanak, kita dengan mudah akan memaafkan dan melupakan walaupun tiada ungkapan maaf secara 'official'. Hari ini bergaduh, esok boleh bermain bersama kembali. Tetapi apabila meningkat dewasa, kita mula tahu apa itu harga diri, kita mula tahu apa itu terasa hati. Sehingga kata-kata itu membekas dalam hati dan mengubah persepsi. Atau mungkin juga mampu mengubah peribadi, daripada seorang yang ramah menjadi dingin. Daripada seorang yang lembut menjadi kasar,daripada seorang yang mengambil berat kepada tidak ambil peduli.

Bahaya lidah ini akhirnya membawa kerenggangan kepada sebuah ikatan kekeluargaan. Masing-masing dengan pendapat dan cara fikir sendiri. Masing-masing menegakkan 'aku betul,dia yang salah', 'aku besar, dia kecil,dia yang perlu beralah, 'ini tanggungjawab dia, bukan tanggungjawab aku' dan seribu satu macam bentuk keakuan lagi..

Kadang-kadang kita mengambil hujah bersikap ' defensive'.

"Da dia yang mula dulu. kalo dia tak cakap macam tu, aku pun tak balas,"

' aku tak kacau orang.tapi kalo dia start dulu,memang kena la'.

'dia tu lagi teruk dari aku'.

'diapun tak reti hormat orang tua,apasal aku kena hormat dengan dia'

'ingat dia lagi tua, semua dia buat tu betul?'

'Da lama aku tahan sabar ngan perangai dia, makin aku diam,makin menjadi-jadi'

Sehingga kita lupa 'dia' itu mungkin adalah abang atau kakak kita. Dia itu mungkin ibu saudara atau bapa saudara kita. Dia itu mungkin adalah adik kandung kita. Dia itu mungkin adalah ibu atau ayah kita!

Rasa marah itu tidak salah. Memang perlu apatah lagi bila kena pada tempatnya. Cuma cara kita menyuarakan kemarahan itu yang perlu di perhatikan. Jangan kemarahan itu menyebabkan kita hilang adab dan sopan. Jangan kemarahan itu menyebabkan hilang rasa hormat.

'Pause button'

Perlu ada kemahiran untuk menekan butang ini tatkala sedang amarah. Adalah lebih baik menghentikan perdebatan dalam keadaan marah. Tunggu reda dan emosi dalam keadaan stabil,barulah memulakan penjelasan atau perbincangan. Logiknya, apabila kita atau lawan bicara kita dalam keadaan marah dan emosi, tiada guna penjelasan di lakukan pada ketika itu.

Kita mungkin seorang yang tenang, tidak emosi,tidak berhasrat untuk memanjangkan perdebatan, hanya ingin menjelaskan keadaan. Tapi seandainya lawan bicara kita ketika itu kelihatan emosi dan kurang rasional, jangan di teruskan penjelasan tersebut. Hentikan dan langsung berlalu dari situ. Tunggu masa yang sesuai untuk penjelasan.

Mengalah tidak bererti kalah. Dan saya sangat yakin, sebuah kekerasan tidak akan mampu mengubah kekerasan yang lain. Jadilah air,walaupun ia mengambil masa yang sangat lama. Kerana air akhirnya akan mampu melekukkan batu yang keras. Kerana kita bukan berhadapan dengan golongan kuffar yang memusuhi islam,tetapi kita berhadapan dengan saudara muslim yang punya pertalian darah dengan kita, yang kita harapkan akan kembali berkumpul bersama di syurga.

Tahanlah lidah anda!

“ Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang sangat sengit dalam bertengkar.” 
(riwayat Bukhari, Muslim, Turmizi dan Nasa’i)

February 11, 2012

Redha Mak...

Bismillahi walhamdulillah...

Hari ini saya belajar sesuatu..

Betapa mahal harga redha seorang ibu..

Betapa tinggi kedudukannya sebagai 'ibu' di pandangan Allah..

Yang seandainya terusik sedikit hatinya,Allah tidak akan menunggu lama untuk menegur sang anak..

***********************************

Jumaat,10/2/2012..4.30pm

Saya keluar dari tadika,menuju ke bank Islam,Parit Buntar. Dalam perjalanan pulang,terdetik untuk memeriksa telefon bimbit. Tiada. Mungkin tertinggal di tadika,detik hati saya. Sampai di tadika,saya cuba mencarinya,juga tiada. Saya cuba hubungi,tidak berjawab.

Saya patah balik ke bank Islam,meneliti sepanjang jalan,seandainya ada tercicir di mana-mana.Hampa..

Dalam kepala saya hanya terlintas satu wajah..mak!

Saya mula mengimbas kembali,setiap perlakuan saya ketika balik minggu lepas,setiap kata-kata saya ketika menghubungi mak sepanjang minggu ini.Sesuatu melintasi fikiran saya.. Semalam,ketika mak menelefon saya,mengadukan kerisauannya tentang urusan rumah peninggalan arwah ayah.. Saya dalam keadaan yang sangat penat,teramat penat. Berulang alik menaiki motor ke tadika dan pusar jagaan sekitar Bayan Lepas,Georgetown,Kepala Batas untuk pemerhatian,membuat pendaftaran semula di USM,dengan keadaan cuaca yang terik.. Dan ketika itu panggilan telefon mak datang.

Mungkin respon dan nada saya bercakap ketika itu membuatkan mak berkecil hati.. Becakap dengan gaya orang penat,saya sendiri tidak pasti bagaimana cara saya ketika itu.. Memang ada perasaan tidak enak hadir selepas selesai perbualan saya dengan mak,tapi sengaja saya tidak fikirkan sangat kerana penat..

Saya sangat yakin Allah uji saya kali ini kerana mak. Selesai solat asar,saya langsung menghubungi mak..

Saya : Assalamualaikum,mak sihat?

Mak : Sihat alhamdulillah,nape de?

Saya : Em,mak.. ude nak tanya..mak ada terasa hati ape2 dengan ude tak.. apa2 yang ude cakap buat mak terasa hati ke..?

Mak : ....Kenapa ude tanya macam tu?

Saya : Em,h.set ude hilang,tak tau tercicir kat mana..

Mak : Ya Allah.. ude da cari ke,cume call tak dapat?

Saya : Em,ude nak minta maaf ngan mak kalau ada apa2 yang ude cakap buat mak terasa hati ke.. Semalam masa mak call ude,cara ude jawab buat mak terasa hati ke, yang ude balik rumah hari tu,kalau ad ude wat ape2 yang buat mak terasa hati.. ude minta maaf. Mungkin h.set ude hilang ni sbb buat mak terasa hati..
(Saya tak sedar air mata saya dah menitis ketika itu..)

Mak : tak adalah.Ude pun banyak komitmen dekat sana.. (jawapan mak tambah meyakinkan saya memang dia ada terasa hati.Dia tidak mengiakan secara langsung,tapi meletakkan alasan atas tindakan saya..)

Saya : mak maafkan ude ya... mak doakan ude ya..

Mak : Ha,yelah,tak ada apa2. nanti cube cari lagi.

(Cuma sebahagian kecil daripada perbualan saya dengan mak)

Selesai perbualan saya dengan mak,hati saya rasa sangat lapang,tersangat lapang. Saya cuba menghubungi sekali lagi nombor saya. Masih tiada jawapan..sehingga deringan yang terakhir,tiba-tiba suara seorang lelaki menjawab. Saya nyaris melompat kegembiraan. Dia menyatakan menjumpai h.set saya di Parit Buntar,dan dia sekarang berada di Pekaka(Taman berdekatan dengan tadika). Saya langsung pergi mengambil h.set tersebut,dalam hati tak putus mengucap hamdalah.Kemudian saya langsung menghubungi mak semula,untuk memberitahu h.set telah dijumpai. Mak juga mengucap hamdalah,dan bersyukur,dan mak pula yang menitiskan air mata.. Tidak sampai 5 minit setelah menghubungi mak dan meminta maaf,Allah kembalikan semula h.set saya..

Jujurnya,h.set saya bukan jenis i-phone,bukan yang mahal,amk gmbr pn tak cantik.H.set murah CSL.Walaupun sebelum ini saya kerap hilang h.set kerana kecuaian,tapi saya sangat yakin kali ini saya tidak cuai. Dan saya percaya setiap apa yang berlaku pada saya,tidak hanya disebabkan faktor teknikal seperti kecuaian,terlupa,tertinggal,etc. Saya percaya ada sesuatu hikmah yang lebih besar daripada itu yang Allah mahu saya cari.

*****************************************************

Saya teringat semasa saya di menengah rendah dahulu,emak pernah berkata..

"Ude tak selalu baca buku,belajar,tapi ude selalu rajin tolong mak,sebab tu Allah selalu tolong ude,"

Saya terdiam mendengar kata-kata emak ketika itu.. Benar,semasa kecil,saya lebih memilih untuk membantu emak berbanding belajar di rumah.. Tapi niat saya ketika itu agar emak tidak akan memanggil saya untuk menolongnya ketika saya sedang menonton rancangan kegemaran saya atau membaca komik kegemaran saya.Saya tidak suka diganggu ketika melakukan apa yang saya suka.Tapi mak tidak melihat itu,dia hanya melihat saya rajin membantunya dan dia redha dengan itu..Dan meningkat dewasa,sedikit demi sedikit saya belajar meluruskan niat..

Saya juga bukan murid yang bijak dahulu,belajar alakadar sahaja. Walaupun suka membaca,saya suka membaca komik,buku cerita,bukan buku pelajaran. Tapi perjalanan akademik saya boleh dikatakan mudah,walaupun tidaklah secemerlang mana.Malah boleh dikatakan saya mendapat sesuatu yang lebih jika dibandingkan dengan usaha saya yang terlalu sedikit. Dan mak melihat itu.Dan saya sangat yakin,sebahagian besarnya adalah kerana berkat doa mak.

Saya tidak kisah samada ada orang baca atau tidak apa yang saya tulis. Saya menulis untuk muhasabah diri saya sendiri,dan agar saya boleh sentiasa memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lama. Dan saya menulis untuk menyampaikan kepada keluarga saya,adik beradik saya,apa yang mungkin saya tak mampu sampaikan secara lisan dan berdepan..

Kejayaan kita,bukan semata-mata kerana usaha. Tapi bergantung juga hubungan kita dengan Allah, dan redha ibubapa..

December 18, 2011

Hati Seorang Ibu....

Bismillahi walhamdulillah...

Kini saya ada satu kebiasaan baru.Bangun dari tidur,saya pasti akan terus memeriksa telefon bimbit.Bimbang sekiranya ada panggilan kecemasan dari rumah. 5.40pagi tadi,saya dapati 'missed call' pada h.set. Saya mengerut kening.Nombor tidak dikenali,tapi saya yakin itu nombor Mesir.Pasti Aus meminjam telefon kawan-kawannya.Laju jari saya mendail semula.Benar Aus yang menelefon,ingin minta saya call mak dan tanya samada sudah makan ubat batuk atau tidak.Ketika dia menelefon,mak mengatakan tak mengapa,dia akan makan pagi nanti sahaja,kerana hari dah lewat malam,dia agak tidak berani untuk turun ke ruang bawah yang sudah agak sunyi kerana tiada orang.

Saya terus hubungi mak.Alhamdulillah batuk mak tidak kedengaran.Tapi memang mak tidak makan ubat batuk,hanya menggunakan ubat asma(inhaler).Tidak berani untuk turun ke ruang bawah.Saya berpesan pada emak agar mengejutkan alang atau angah sekiranya memerlukan apa-apa.Mak menolak. Katanya dia tidak mahu menyusahkan.Selagi boleh bertahan,dia akan tahan sahaja.Mak mengatakan,kadang-kadang jika terasa ingin buang air,mak akan tahan sahaja sehingga pagi kerana tidak berani turun ke bawah seorang diri. Saya jadi terkejut.Saya bertanya kenapa mak tidak menggunakan tandas di ruangan atas.Mak kata,kadang-kadang dia makan petai,jadi dia takut tandas akan meninggalkan bau sekiranya dia menggunakan tandas atas.Dia tidak mahu anak-anak nya tidak selesa..

Hati saya cukup sayu mendengar jawapan mak..Sampai ke tahap itu mak berusaha untuk tidak menyusahkan kami,anak-anaknya.. Saya juga tidak akan tahu tentang ini sekiranya tidak bertanya,mak tidak akan bercerita.. Mak boleh bersembang seperti biasa tentang perkara-perkara lain,taska,tadika,sudah masak,tengok tv,tunaikan solat dhuha,etc. Tapi mak jarang bercakap tentang apa yang dia perlukan,melainkan di tanya.

Satu perubahan yang saya perasan pada mak..dia cuba berdiri atas kakinya sendiri setelah ketiadaan ayah.Dia tidak ingin menjadi beban kepada anak-anaknya.. Dia merasakan anak-anaknya juga punya kehidupan mereka yang perlu di uruskan..dan saya rasa sangat bersalah..Dalam masa yang sama,sensitivitinya juga semakin meningkat tinggi,perasaannya mudah terguris,cuma dia simpan dan diamkan dalam hati..

Ya Allah,jadikan kami anak-anak yang berbakti kepada mak dan ayah di dunia dan akhirat..

December 17, 2011

Hukum Sedeqah Pahala Amalan Kepada Si Mati

Hukum Sedeqah Pahala Amalan Kepada Si Mati

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman,http://zaharuddin.net

Apakah hukum seseorang menghadiahkan pahala amalan ibadahnya kepada orang mati iaitu seperti membaca al-Fatihah buat si mati dan seumpamanya, tidak kira samada dari kalangan ahli keluarganya atau selainnya..adakah pahala tersebut sampai kepada si mati ?

Jawapan :

Sebelum menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik kiranya pembaca dapat memahami bahawa amal ibadat seseorang terbahagi kepada 3 jenis :-

1) Amal Ibadah ‘Badaniah' semata-mata : Iaitu ibadat yang dilakukan oleh tubuh semata-mata seperti solat, puasa, membaca al-quran dan lain-lain.

2) Amal ibadah ‘Maliah' : Iaitu amal ibadat berbentuk harta semata-mata, seperti zakat, sedeqah.

3) Amal ibadah yang mengandungi unsur ‘badaniah' (dilakukan oleh tubuh) dan ‘maliah' ( berbentuk harta) serentak ; ianya seperti Haji.

Maka bagi menjawab persoalan di atas, secara umumnya seperti berikut :-

a- Para ulama ahli sunnah wal jama'ah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan boleh di hadiahkan pahalanya kepada orang lain. Ia adalah amalan berikut ( Rujuk : Hasyiah Ibn ‘Abidin , 1/605 ; Nihayatul Muhtaj , 6/92 ; Mughni al-Muhtaj , 3/96 ; al-Mughni, 2/567 ) :-

1- Sedeqah harta dan yang sepertinya.

2- Doa & istighfar.

3- Apa-apa jenis Ibadat yang boleh diwakilkan. (seperti haji)

Antara dalil utama mereka adalah :-

a) Erti firman Allah : "Dan mereka yang datang selepas kumpulan itu , berdoa Ya tuhan kami ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang sebelum kami telah beriman" ( Al-Hasyr : 10 )

b) Firman Allah ertinya : "Dan pintalah ampun bagi dosa kamu dan dosa orang mukmin" ( Muhammad : 19 )

c) Bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: ertinya " Ya Rasulullah SAW , sesungguhnya ibuku telah meninggal, adakah jika aku bersedeqah untuknya, maka pahala sedeqah ini dapat memberi manfaat kepadanya? , Nabi SAW menjawab : " Ya" ( Riwayat Abu Daud & Tirmidzi ; Imam Tridmidzi mengatakannya Hasan ; juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sedikit berbeza lafaz tetapi ertinya sama)

d) Seorang lelaki bertemu Nabi SAW lalu bertanya " Ibu telah meninggal, dan ada meninggalkan harta tetapi ia tidak membuat sebarang wasiat terhadap hartanya, adakah jika aku menyedeqahkan hartanya maka dosanya boleh terhapus ? Nabi menjwab : ya" ( riwayat Muslim , Nasaie , tirmidzi dan lain-lain)

Hasil kefahaman dari dalil-dalil di atas :

* Doa muslim kepada yang lain samada hidup atau mati, adalah boleh membantu saudaranya dalam bentuk syafaat, sebagaimana kata Imam al-‘Iz bin Abd Salam "Doa adalah suatu bentuk syafaat (bantuan) yang diharuskan buat ahli keluarga dekat dan rakan yang jauh" ( Qawa'id al-Ahkam , 1/135 ).

* Amalan sedeqah harta boleh memberi manfaat kepada si mati. Bagaimanapun Imam As-Syawkani ( w 1255 H) dan Syeikh Muhd Rashid Ridha ( w 1354 H) berpendapat amalan sedeqah ini khas untuk anak si mati sahaja. Menurut mereka, sedeqah dari orang asing tidak sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Nayl awtar , 4/99).

Bagaimanapun Imam An-Nawawi (w 676 H) serta jumhur ulama sebelum as-Syawkani telah pun membawa hujjah bahawa sedeqah bukan dari anak juga boleh sampai kepada si mati dengan dalil berikut :-

1) Ijma' , ia telah ditegaskan oleh Ibn Quddamh ( w 620 H), An-Nawawi dan Ibn Khathir.

2) Telah sabit dalam hadtih bahawa Nabi SAW telah mengiakan pelupusan hutang beberapa orang sahabat, walaupun ia di bayar oleh bukan ahli keluarga si mati.



b- Adapun amalan-amalan lain terutamanya dari kumpulan amalan berbentuk ‘badaniah' semata-mata dan berbentuk gabungan antara amalan tubuh dan harta, Para ulama terbahagi kepada dua kumpulan besar, ia seperti berikut : -

* Majoriti ulama berijtihad mengatakan ianya tidak boleh dihadiah dan tidak sampai kepada si mati jika dihadiahkan. Ia adalah pandangan Imam As-Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Syafie, ia juga pandangan Imam Malik, Imam Izzudin Bin Abd Salam.

Antara dalil utama kumpulan ulama yang melarang ini adalah seperti berikut :-

1) ((وأن ليس للإنسان إلا ما سعى ))

Ertinya : "Dan sesungguhnya setiap manusia tidak akan memperolehi kecuali apa yang diusahakan.." ( An-Najm : 39 )

2) ((ولا تكسب كل نفس إلا عليها , ولا تزر وازرة وزر أخرى ))

Ertinya : "Dan tidaklah seseorang berusaha (beramal) kecuali ia akan memperolehinya , dan tidaklah seseorang kamu menanggung dosa dan beban orang lain" ( Al-An'am : 164 )

3) Hadith Nabi SAW

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"

Bagaimanapun, Mazhab Hanafi, Hanbali secara umum dan sekumpulan kecil dari mazhab Maliki, ulama mutaakhirin dari mazhab Syafie dan Imam Al-Qurtubi pula berpendapat : Harus dan pahala seluruh jenis ibadat sampai kepada si mati, iaitu jika ia diniatkan hadiah kepadanya. Ini beerti menurut ijtihad kumpulan ulama ini, semua ibadat seperti solat, puasa, haji, membaca al-quran, sedeqah harta, doa dan lainnya, akan sampai pahalanya kepada si mati. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa sedeqah tidak semestinya dengan harta (al-Bahr al-Raiq,3/64 cet dar al-Kitab al-Islami; At-Tazkirah fi Ahwal al-Akhirah, 1/101)

Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal secara peribadi pula mempunyai pandangan pertengahan antara kedua kumpulan di atas dimana beliau berijtihad HARUS menyedeqahkan pahala membaca al-Quran kepada si mati.

Imam ahmad mengatakan :

" وأي قربة فعلها وجعل ثوابها للميت المسلم نفعه ذلك إن شاء الله , والمسلمون في كل عصر ومصر يجتمعون ويقرأون القرآن ويهدون ثوابه إلى موتاهم من غير نكير "

Ertinya : Dan apa jua amalan taqarrub yang telah dibuat dan dijadikan pahalanya kepada si mati yang Muslim, maka ia telah memanfaatkan si mati inshaAllah, dan orang Islam di setiap zaman dan tempat berkumpul dan membaca al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati mereka tanpa sebarang bantahan" (Al-Mughni, 2/566)

Ijtihad beliau disokong oleh sebahagian daripada ulama mazhab Syafie seperti Imam Ibn Solah, Al-Muhib at-Tabari lain-lain. Imam Ibn Quddamah Al-Hanbali ( w 620 H) berkata : " sejak turun temurun di setiap zaman muslim berkumpul dan membaca al-Quran serta mendoakan pahalanya kepada muslimin yang telah meninggal, Nabi SAW pernah bersabda bahawa si mati di azab dengan sebab ratapan dan raungan si hidup, maka tiada sebab mengapa Allah menghalang pahala kebaikan sedangkan azab boleh samapi kepada si mati.." (Rujuk al-Mughni, 2/226 cet Dar Ihya at-Turath al-Arabi)

Secara ringkas antara dalil-dalil kumpulan ulama yang membolehkan ini adalah hadith-hadith yang menyebut tentang keharusannya dalam jenis ibadah Puasa, Haji, Doa, Istighfar dan lain-lain, yang mana menurut ijtihad mereka ia termasuk secara langsung atau tidak dalam bentuk ibadah ‘badaniah' semata-mata dan juga gabungan badaniah (tubuh) dan harta. Berdasarkan dalil ini mereka men ‘qias'kan kepada semua jenis ibadah.

Demikianlah, beberapa pandangan para ulama muktabar ahli sunnah wal jama'ah dalam tajuk ini, kesemua mereka sebagaimana yang dapat dibaca, berijtihad dalam memahami dalil-dalil ..maka dalam hal ini, justeru kiranya ada individu yang melakukannya, tidak harus kita menolaknya secara putus (qat'ie) kerana mereka juga mempunyai dalil walaupun dalil mereka di anggap lemah oleh yang menolak ( kecualilah jika terdapat unsur-unsur bid'ah terhasil dari perkara-perkara luar). Apa yang penting adalah menghormati hasil ijtihad para ulama yang berkelayakan.

Sebagai penutup, suka saya memetik kata Ibn Taymiah : "Sah dari Nabi SAW bahawa baginda mengarahkan bersedeqah kepada si mati, juga berpuasa untuknya , maka sedeqah untuk si mati adalah termasuk dari kalangan amalan soleh.... Bagaimanapun bukanlah dari kebiasaan para ulama salaf dan sahabat apabila solat sunat dan puasa dan haji dan membaca al-Quran, mereka menghadiahkan kepada muslimin yang telah mati, justeru adalah terlebih baik jika manusia menuruti jalan mereka kerana ia adalah lebih baik dan sempurna." (Fatawa al-Kubra , 3/38 cet dar al-kutub al-ilmiah)

Justeru, saya merasakan adalah lebih baik menghabiskan usaha si hidup untuk menghadiah pahala-pahala yang pasti sampai kepada si mati sahaja. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin memegang ijtihad ulama yang mengharuskan, saya kira ia bukanlah masalah yang besar. Wallahu'alam.

December 12, 2011

Selamat Jalan Ayah...

Bismillahi walhamdulillah...

Hati menangis, mata menitiskan air mata, tapi kami tidak kuasa mengatakan melainkan apa yang diredhai Allah...Innalillahi wa inna ilaihi rajiu'n...Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali..

Genap lapan hari pemergian arwah ayah kembali ke rahmatullah..segalanya masih jelas dalam ingatan saya..

Perjalanan kami ke Kota Bharu untuk melangsungkan pertunangan abang.Saya bersyukur kerana pulang ke rumah terlebih dahulu,kerana mengikut perancangan asal,saya akan terus menaiki bas ke KB.Ditakdirkan Allah,tiket habis,lalu saya menaiki bas pulang ke Shah Alam.Sampai di rumah,ayah menunggu saya untuk sama-sama menyusun duit hantaran Angah.Malam itu ayah berjaga bersama saya untuk menyusun duit hantaran.Dalam keadaan antara larat dan tidak,ayah gagahkan diri untuk melihat saya menyusun duit hantaran. Bila tidak larat,ayah baring sebentar,kemudian akan bangun semula.Begitulah sehingga kami selesai menyusun duit hantaran dalam pukul hampir 3 pagi.

Pagi Sabtu,kami bertolak dari rumah dalam pukul 11.30pagi,janji untuk bertemu makcik di Tol Gombak.Kami akan konvoi dua kereta untuk ke KB.Sepanjang perjalanan,ayah batuk-batuk. Batuk ayah memang agak teruk akhir-akhir ini,memang kami bawa ubat batuk dan semua ubat yang dirasakan perlu memandangkan ini perjalanan yang jauh.Sampai di Gombak,ayah kelihatan lemah dan tidak larat. Kami berhenti rehat dan makan sambil menunggu makcik.Saya ,mak dan Angah makan nasi di luar kereta,kakak tidak makan,manakala ayah makan bubur di dalam kereta.Memang kami makan di luar agar ayah lebih selesa di ruang duduk belakang. Selesai makan,batuk ayah masih tidak berkurang,ayah nampak tidak larat. Saya mengajak ayah berehat di surau sementara menunggu makcik.Selesai memimpin ayah ke surau bersama Angah,saya dan mak ke ruang solat wanita untuk menunaikan solat.

Kami menyambung semula perjalanan setelah jam menunjukkan hampir pukul 3 petang.Makcik telah sampai. Ayah masih kelihatan tidak larat,tapi ayah menyuruh untuk meneruskan perjalanan.

"tak apa,bawaklah pelan-pelan,boleh.."Begitulah kata ayah meminta kami meneruskan perjalanan.Sepanjang perjalanan dari Gombak ini,batuk ayah semakin teruk,sampai ayah muntah-muntah.Muntah ayah cuma keluar kahak dan air,mungkin sebab ayah pun cuma makan bubur.Saya,ayah dan mak duduk di kerusi belakang dengan saya berada di tengah-tengah dan mak dan ayah di kiri dan kanan saya.Sepanjang perjalanan ini,saya dan mak tidak putus memicit badan dan kepala ayah agar ayah akan rasa lebih lega.Tapi batuk ayah nampaknya tidak berkurang,malah semakin teruk. Akhirnya,ayah meminta kami berhenti di stesen minyak,dia ingin ke tandas.Kami berhampiran Dong,Pahang ketika itu,tiada stesen minyak yang terdekat,jadi kami berhenti di masjid. Sampai di masjid,ayah tidak mahu ke tandas,ayah meminta untuk menukar seat hadapan kerana tidak larat berada di seat belakang. Akhirnya Alang tumpang kereta makcik,saya duduk betul-betul di belakang ayah,kerusi ayah dibaringkan sehingga tahap maksimum,betul-betul mencecah riba saya.Mak menyuapkan ayah bubur,makcik dan Angah mencari air gula untuk ayah,kerana bimbang ayah mungkin tidak larat disebabkan kekurangan gula kerana ayah mengidap kencing manis.Saya terus memicit-micit badan dan kepala ayah.Setelah lebih kurang setengah jam,ayah mula kelihatan lega.Kami meneruskan perjalanan dan semua bersetuju untuk mencari mana-mana klinik yang ada untuk memeriksa keadaan ayah terlebih dahulu.

Ayah mula kelihatan lega,tiada kedengaran batuk-batuk ayah lagi,nampak ayah seperti mula boleh tidur dan berehat.Saya dan emak terus memicit badan dan kepala ayah. Melepasi Kuala Lipis,kami berhenti lagi di stesyen minyak Shell Padang Tungku,ada yang mahu ke tandas. Di sini,ayah terjaga kembali.Saya sempat menyuapkan bubur pada ayah,ayah makan agak banyak.Ayah kembali batuk,nampak tidak selesa.Sekejap ayah mengaduh kakinya kebas,tidak boleh gerak,Alang memicit kaki ayah.Sekejap ayah berpusing ke kiri,sekejap ke kanan,badan ayah berpeluh,peluh yang agak banyak,baju kemeja ayah basah dengan peluh,ayah minta ditanggalkan bajunya.Saya terus menyapu krim but-but pada dada dan badan ayah,tapi tangan saya jadi basah dengan peluh ayah.. saya mengelap peluh di muka dan badan ayah dengan sapu tangan lembap,peluh ayah keluar kembali.Saya lap pula dengan tisu,peluh ayah keluar kembali,peluh dingin.. Hati saya rasa tidak enak.. Saya minta Alang ambilkan tuala mandi ayah di bonet untuk mengelap peluh ayah,peluh ayah di muka dan badannya terus ada.Ayah beritahu kami,dia ingin ke tandas,alang terus memandu kereta berhenti betul-betul di hadapan tandas agar mudah untuk kami memapah ayah ke tandas.Tapi kemudian ayah mengatakan dia tidak mahu ke tandas,ayah terus mengaduh kakinya kebas,Alang dan Angah memicit kaki ayah.Saya yang memang tidak dapat bergerak,terus memicit ayah..Alang bertanya kalau ayah merasa sejuk atau panas,kerana banyaknya peluh yang keluar.Tapi saat ini,kami tidak dapat memahami apa yang ayah cakapkan...dan adakalanya ayah seperti meracau.Mak buatkan susu kambing Hi Goat,agar ayah sedikit bertenaga.Saya suapkan susu pada ayah,ayah minum menggunakan straw,agak banyak ayah minum.

Melihat keadaan ayah,kami bergegas bergerak kembali untuk mencari klinik. Jujurnya,hati saya resah apabila melihat peluh dingin ayah yang tidak berhenti keluar dari tadi.Sepanjang bergerak dari Shell,mata saya tidak lepas dari ayah,tangan saya tidak berhenti memicit ayah,saya dapat dengar mak melafaz zikir di sebelah saya.Tidak sampai 10 minit kami meninggalkan Shell,tiba-tiba saya melihat ayah menarik nafas kuat,dadanya berombak,saya segera memanggil ayah,3 kali,4 kali,ayah tidak merespon... Spontan saya membacakan alfatihah,albaqarah 1-5,3 qul dan langsung saya lafazkan syahadah di telinga kanan ayah..Saya tak tahu..Saya tak tahu apa dalam fikiran saya ketika itu..saya tak pernah berhadapan dengan orang yang sedang sakarat..saya tidak tahu.. naluri seorang anak menidakkan sebarang kemungkinan buruk yang terlintas..tapi lidah langsung membacakan ayat-ayat suci.. dan kemudian,sekali lagi ayah menarik nafas kuat,matanya memandang ke atas,saya sempat melihat bibir ayah bergerak seakan menyebut Allah,tapi tidak jelas kedengaran di telinga saya..kemudian mata ayah tertutup,saya terus memanggil ayah ,tiada respon.Saya langsung memeriksa nadi ayah di leher,saya tak dapat rasa apa-apa..Bimbang saya terlalu panik menyebabkan tak dapat mengesan nadi ayah,saya langsung merebahkan kepala di dada ayah,ingin melihat samada dada ayah masih berombak walaupun sedikit,kaku.Jam ketika itu menunjukkan 6.45petang. saya terus meminta Angah memberhentikan kereta,dan meminta makcik dan pakcik untuk memeriksa ayah.Mereka memeriksa ayah,dan menegaskan untuk terus membawa ayah ke hospital.

Sepanjang perjalanan,saya dan mak bergilir membacakan yasin yang kebetulan mak bawa bersama.Tangan saya terus memeluk ayah,sambil terus merasa kalau ada apa-apa tindakbalas dari ayah..Angah terus memandu sambil sebelah tangannya memegang ayah.. Mak mula membuat panggilan,telefon Aus yang berdada di Mesir dan Andak di Sabah,minta agar turut sama mendoakan agar semuanya selamat.. Saya tidak berani memikirkan apa-apa kemungkinan..Hati kuat mengatakan ayah telah tiada,tapi akal menyangkal dengan alasan mungkin ayah pengsan kerana tidak cukup gula. Air mata ingin menitis,tapi saya tahan kerana saya tahu saya tak boleh menangis sekarang..

Kami sampai di Hospital Gua Musang lebih kurang jam 8.20malam,sejam lebih di perjalanan.. Sampai di kecemasan,doktor mengesahkan ayah telah tiada,kembali ke rahmatullah..Akhirnya air mata saya tumpah juga..

Seminggu berlalu,saya kembali ke Penang,Aus kembali ke Mesir,Andak kembali ke Sabah,Angah terpaksa 'out station' ke Kuala Lipis.Mak di rumah bersama Alang.Hingga saat ini,air mata saya masih begitu mudah tumpah.Sungguh saya tidak sekuat mana..Benarlah apa yang Allah firmankan :

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum datang kepadamu cubaan seperti yang di alami orang-orang terdahulu sebelum kamu..(2:214)

Dengan ujian baru kita dapat mengukur sejauh mana keimanan dan keyakinan kita pada taqdir Allah..

Saya risaukan mak di rumah..Tapi saya tahu,walaupun saya berada di sebelahnya,tetap Allah adalah pemelihara dan penjaga terbaik untuknya..Kini cuma tinggal satu laluan utama saya ke syurga,yang perlu saya jaga dan hargai sebaik-baiknya.. Dengan pemergian ayah,perancangan hidup saya juga akan berubah..moga Allah permudahkan segala urusan.

Buat abang,kakak dan adik-adik uda,mari buktikan kecintaan kita pada arwah ayah bukan sekadar dengan deraian air mata,bukan juga sekadar bacaan yassin dan tahlil yang ada waktu dan ketikanya,tapi juga dengan menjadi anak soleh,hamba Allah yang patuh pada Tuhannya dalam segenap kehidupan kita,mudah-mudahan Allah akan mengumpulkan kita semula di negeri yang kekal abadi di sana...

November 28, 2011

Happy Anniversary mak & ayah (^_^)

Bismillahi walhamdulillah..



28 November 1982 ~ Penyatuan dua hati antara Mazani bin Mat Wali & Fauziah bt Ismail

20 Ogos 1983 ~ Kehadiran anak sulung,Along (Mohd Fadhil b. Mazani). Namun Allah lebih menyayanginya,meninggal dalam kandungan.

26 Ogos 1984 ~ Kelahiran anak kedua,Angah (MOhd Faizal b. Mazani)

10 Januari 1986 ~ Kelahiran anak ketiga,Alang(Nurul Hafizan bt Mazani)

3 Julai 1987 ~ Kelahiran anak keempat,Uda (Nur Izzah bt Mazani)

18 Ogos 1989 ~ Kelahiran anak kelima,Andak (Nur Hidayah bt Mazani)

24 Ogos 1991 ~ Kelahiran anak bongsu, Aus (Mohd Firdaus b. Mazani)

11 November 2011 ~ Menerima menantu pertama,Amir Hasbullah

********************************

28 November 2011

Mak

Sabar.Perkara utama yang saya pelajari dari mak.Sabar menjadi seorang isteri kepada suami yang agak panas baran. sabar menjadi seorang ibu kepada anak-anak yang pelbagai ragam dan karenah.Bukan sedikit air mata yang tumpah sepanjang 29 tahun ini,secara nyata atau sembunyi... Tapi mak terus kuat melangkah.Saya berani katakan perubahan sikap ayah dan penurunan darjah panas barannya(walaupun masih ada saki baki(^_^) ),adalah kerana kesabaran dan doa mak,dengan izin Allah.Mak juga tak pernah jemu meningkatkan ilmu dalam diri.Tatakala kami adik beradik mula menjejak ke universiti,mak juga aktif menghadiri kelas-kelas agama di masjid.Mengejar semula apa yang dia tak sempat perolehi.Dan saya tahu di situ antara lahan-lahan mak mendapatkan kekuatan,dengan mendekat kepada TuhanNya. Dan adakala tatkala saya melemah,mak yang akan mengingatkan betapa kekuatan itu milik Allah,Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang meminta.

Ayah

Tekad.Ini yang saya pelajari dari ayah.Tekadnya sangat tinggi.Walaupun hanya sempat belajar sehingga darjah tiga(berhenti kerana sikap panas barannya),membesar hanya dengan ibunya,tanpa ayah(atuk meninggal tanpa sempat ayah melihatnya),dia membesar dalam keadaan berpindah randah,namun ayah banyak belajar melalui universiti 'kehidupan'~pengalamannya. Saya masih ingat ketika kami semua masih di bangku sekolah rendah,ayah sering mengulang~"ayah nak lima-lima anak ayah semua masuk universiti". Dia tak mahu kami melalui apa keperitan hidup yang telah dilaluinya..Ayah sentiasa tahu apa yang dia mahukan,sentiasa memikirkan kebajikan anak-anak nya dan sentiasa berusaha mencapai apa yang di azamkannya.Dulu saya pernah sangat marah dengan ayah,terasa hati dengan sikap panas barannya.. Tapi kemudian,saya kembali merenung sejarah hidupnya,perjalanan hidupnya,saya jadi faham kenapa sikap ayah begitu(^_^).

Anak-anak

Saat ini kami semua sudah menjejak usia dewasa.Ada yang sudah berumah tangga,ada yang sudah bekerja,ada yang masih belajar. Kami telah menunaikan impian ayah,yang ingin kelima-lima kami menjejakkan kaki ke universiti dengan izin Allah.Mudah-mudahan kami mampu berbakti kepada mak dan ayah dan menyenangkan hati mereka,dan mampu menjadi anak yang membahagiakan mereka di dunia dan akhirat.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-29 buat mak dan ayah tersayang. Moga Allah sentiasa melimpahkan mawaddah wa rahmah atas rumah tangga mak & ayah dan mengumpulkan kita semua di syurga(^_^)

November 9, 2011

1st Wedding in da House VS 1st Graduation Day of TCB(^_^)

Bismillahi walhamdulillah...

Em,11,12 dan 13 November 2011,tarikh penting untuk bulan ini.Penting untuk keluarga saya di Shah Alam,dan penting juga untuk 'keluarga' saya di Penang(^_^).

1st Wedding in da House

Majlis perkahwinan yang pertama dalam keluarga saya,insyaAllah kakak saya akan menikah 11hb ini dengan pilihan hatinya. Alhamdulillah,happy for her(^_^),moga segalanya berjalan lancar. Satu sahaja harapan saya untuk majlis ini~ Semoga Allah memberkahi majlis ini,memberkahi juga pasangan yang diijabqabul dan memberkahi juga para tetamu yang hadir,ameen.

Melihat persiapan perkahwinan kakak saya,membuat saya merenung erti sebuah pernikahan.Mencari beza perkahwinan antara seorang muslim dengan bukan muslim. Ya,semua orang berkahwin, Seorang Buddha juga berkahwin,seorang Hindu juga berkahwin,seorang Nasrani juga berkahwin,namun apa yang membezakan mereka dengan perkahwinan seorang muslim?

Ibadah

Ya,sebagai seorang muslim,pernikahan adalah sebagai ibadah, Bukan sekadar melengkapkan kitaran norma kehidupan.Bahkan merupakan ladang amal sebagai bekal kita di akhirat kelak.

Persoalannya,bagaimana untuk memaknakan ibadah dalam pernikahan tersebut?

Persiapan perkahwinan.

Melalui persiapan perkahwinan kakak saya ini,banyak yang saya pelajari,bagaimana mengira budget belanja kenduri kahwin.Bagaimana memilih pakaian pengantin,hiasan pelamin,siapa akan menjadi pengapit,siapa akan menjadi jurumekap,apakah cenderamata yang akan diberi kepada tetamu,berapa khemah akan dipasang,berapakah wang hantaran,apakah tema majlis perkahwinan yang akan di adakan?Dan macam-macam lagi.Tapi saya juga tahu persiapan perkahwinan tidak hanya sekadar itu..

Jauh lebih awal daripada itu yang perlu kita fikirkan,bagaimana menjadikan majlis pernikahan itu sebagai majlis yang diberkahi Allah,yang turut di doakan oleh para malaikat.Kerana ketahanan dan kebahagiaan sesebuah perkahwinan adalah dengan keberkahan dari Allah.Pada saat-saat akhir menjelang pernikahan juga kita perlu memerhatikan keredhaan daripada kedua orang tua kita kerana keredhaan mereka adalah keredhaan Allah atas kita.

Saya berdoa agar segalanya berjalan lancar dan jodoh kakak bersama pilihan hatinya kekal hingga ke syurga(^_^).

1st Graduation Day of TCB

Masuk ke mode 'TCB',saya perlu pulang ke Penang pada pagi Ahad,kerana ada Majlis Ihtifal atau Hari Graduasi TCB pada jam 8 malam.Juga majlis yang pertama kali diadakan.Jadi kerisauannya,faham-faham sahajalah,haha.Kepenatannya juga jangan dikata. Moga kepenatan dan kerisauan ini Allah nilai sebagai ibadah,jika tidak,alangkah malangnya saya..

Semoga semuanya berjalan lancar juga untuk Majlis Ihtifal 2011 ini,ameen..Tidak sabar menyaksikan aksi anak-anak ini di atas pentas(^_^)

October 1, 2011

Perempuan??(^_^)

Bismillahi walhamdulillah..

*************************************************

kenapa perempuan suka dipuji?

kenapa perempuan tak suka dikritik?

kenapa perempuan cepat terasa dan kecil hati?

kenapa perempuan bajet disukai?

kenapa perempuan fikir sering diperhati?

Benda tak sedap kami terpaksa cakap sedap

Benda tak cantik kami terpaksa cakap cantik

Benda tak hebat kami terpaksa cakap hebat

Kami tak nak kami terpaksa cakap nak

kami tak setuju kami terpaksa cakap setuju

sebab nak jaga hati

setiap keluar dari mulut kena berhati

teguran tak pernah ada salah

tapi susah kalau rasa diri maasumah

apabila bergelar seorang ustazah

Bila fikirkan semula

Sabar dan sabar

moga ini yang terakhir

tak nak kujumpa makhluk begini lagi

kadangkala baik lagi bukan ustazah

kadangkala matang lagi bukan ustazah

fikiran terbuka

sedia menegur dan ditegur

tak mudah kecil hati

tak mudah sakit hati

kerana itulah diri anda

kerana itulah lemahnya anda

maka akuilah ia

dan perbaikilah ia

" ustz,ada akhawat menangis bila ustaz cakap......."

"ustz,biar ikhwah masak semua..akhawat tak pandai masak..."

"ustz,akhawat kecil hati time ustz...."

"ustz,kami buat penat2,smpai hati ustz..."

dan bermacam-macam lagi..

Tolong optimis dan berlapang dada

Tiada masa untuk berduka-cita

Pandang positif dan ke hadapan

Jangan terlampau berperasaan

Fikir-fikirkan


*****************************

Sebuah cetusan dari adik lelaki saya.Membacanya,saya tersenyum sendiri(^_^).Mengenali peribadinya,saya tahu dia rimas dengan orang yang berperibadi begitu baik perempuan mahupun lelaki sebenarnya.Cuma mungkin yang dijumpai bersikap begitu setakat ini kebetulan adalah perempuan,dan bakal ustazah??(^_^).Saya pernah menemui kedua-keduanya,lelaki dan perempuan yang berperibadi begitu.

Jadi saya suka memandang dari sudut begini:

1)Setiap orang yang Allah ciptakan ada karakter peribadinya yang tersendiri.Mungkin ada yang terlalu sensitif,mungkin ada yang kurang berperasaan dan lain-lain.Dan karakter ini dipengaruhi banyak faktor.Paling utama~pasti latar belakang didikan keluarga(^_^).Boleh diubah,tapi sedikit sebanyak kesannya memang ada.

2)Ada sesuatu yang Allah nak ajar saya dengan menemukan saya dengan orang-orang yang berkarakter begini.Mungkin supaya saya lebih mengenali sifat-sifat manusia yang pelbagai,dan dengan pengalaman-pengalaman begini,lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan mengajak mereka kepada kebaikan. Seorang murabbi itu kan perlu mempunyai ilmu psikologi manusia(^_^)

3)Moga ada ganjaran pahala bila saya bersabar lebih.

Bila fikir begini,akhirnya saya akan senyum dan berkata pada diri sendiri~ok,i accept that(^_^).

Saya harap adik saya bersetuju bahawa perempuan-perempuan dalam hidupnya kini(mak & kakak-kakaknya),tidak begitu,hee(^_^)

September 20, 2011

Mak & Ayah...

Bismillahi walhamdulillah..

Saat ni,begitu cepat tersentuh bila teringatkan mak dan ayah,entah kenapa.Balik raya lepas,saya renung wajah mak dan ayah satu persatu,lama-lama... Mula kelihatan wajah tua mereka,mula nampak kudrat mereka yang mula terbatas...Saya cuba sedaya mungkin meringankan beban mereka,melakukan segala kerja yang perlu di rumah.Ya,saya mungkin tak dapat membantu banyak dari sudut kewangan,jadi biarlah saya kerahkan segala tenaga yang ada untuk kerja-kerja yang mampu saya lakukan.Saya gembira bila ada senyuman di wajah mereka..

Pulang ke rumah,saya cuba peruntukkan sepenuhnya untuk mak dan ayah.Kalau sedang duduk-duduk rehat,saya akan ambil kesempatan memicit pinggang,kaki mereka,bercerita tentang perkembangan taska dan tadika,cuba menggembirakan mereka.Mendengar cerita-cerita mereka..Ya,banyak sebenarnya yang mereka ingin ceritakan,walaupun kadang-kadang cerita yang berulang,saya akan tetap dengar dengan gembira.Sebab saya tak tahu berapa banyak lagi masa yang saya ada untuk mendengar suara mereka.Saya tak tahu berapa banyak lagi masa yang saya ada untuk berbakti pada mereka..

Ayah pernah bercadang untuk membeli teksi yang sedang di sewanya.Saya kurang setuju kerana teksi itu sudah lama dan sering mengalami masalah.Kerap duit perlu dikeluarkan untuk membaikinya.Saya berbincang dengan abang.Jawapannya ringkas,tapi cukup untuk membuatkan saya berfikir saya masih belum berbakti sepenuhnya kepada ayah. Abang cakap :

"Tak kisahlah teksi tu selalu rosak atau tak,asalkan ayah gembira dengan apa yang dia buat,tak apalah.Ayah bukan larat betul nak bawa teksi pun,biarlah ada kenderaan untuk dia berjalan-jalan,"

Ya,asalkan ayah gembira.Berapa lama lagi masa yang saya ada untuk menggembirakannya..

Hari lahir saya yang lepas,saya telefon rumah selepas subuh.Saya tak menginginkan ucapan hari lahir.Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih.Terima kasih kepada mak dan ayah yang telah melahirkan saya. Terima kasih kerana sudi membesarkan saya. Terima kasih kerana sudi menyekolahkan saya sehingga saya berjaya sampai ke universiti. Terima kasih kerana mengizinkan saya berada di Penang. Terima kasih kerana tidak jemu mendoakan saya.Dan ayah menangis mendengar kata-kata saya...

Saat ini,apabila melihat wanita lingkungan 50an yang bekerja keras mengutip pinggan di gerai makan,menyapu sampah,menjual barang rumah ke rumah,saya akan langsung teringatkan mak.Bila melihat pakcik seusia ayah bersusah payah meniaga dan membuat kerja-kerja berat,ingatan saya pantas teringatkan ayah..Dalam hati saya bertekad tidak akan membiarkan mereka susah pada usia begini.Namun saya tahu,saya masih belum mampu melaksanakan tekad saya sepenuhnya..

Mak dan ayah adalah antara laluan utama saya ke syurga.Berada di Penang,kadang-kadang membuatkan saya rasa tak dapat berbakti sepenuhnya kepada mereka..Jadi saya cuba peruntukkan masa khusus untuk hubungi mereka,saya akan sentiasa gembira menerima panggilan telefon mereka.Biar kewangan saya sesempit mana,tapi saya tak akan usik bahagian yang telah saya peruntukkan untuk mereka.

Dan saya sangat tahu,segala yang telah dan sedang saya lakukan ini pun,masih belum cukup untuk dinamakan berbakti kepada mereka.Saya sangat tahu bahawa saya hari ini adalah berkat doa mereka yang tidak jemu-jemu mendoakan saya.Doa mak dan ayah...Saya berharap Allah menerima amal saya di sini,dan imbuhannya juga sampai pada mak dan ayah yang mengizinkan saya berada di sini.

Moga Allah bagi kekuatan untuk saya berbakti kepada mak dan ayah sebaik-baiknya.Begitu juga kepada abang,kakak dan adik-adik saya.Berbakti itu bukan sekadar sayang di dalam hati,tapi perlu diterjemahkan dengan amal nyata. Amal itu bukan sekadar cukup memberikan wang bulanan dan membelikan barang keperluan,tapi jagalah hatinya,jagalah perasaannya,berlemah lembutlah dalam tutur kata kepadanya,bantulah kudratnya yang semakin melemah..

Saya ingin menjadi anak soleh agar dapat berkumpul dengan mak,ayah dan ahli keluarga di syurga kelak,amin..


Ayah yang tegas,tapi sangat memikirkan anak-anaknya(^_^)


Mak yang tak jemu mendoakan (^_^)


Bersama keluarga dalam trip keluarga ke Genting.Percutian yang sangat bermakna.Terima kasih kepada angah dan alang yang banyak menyumbang(^_^)~Alang tiada dalam gambar,sebab kena mengambil gambar,huhu

March 30, 2011

My Sweetheart (^_^) ...


My sweeatheart at Shah Alam (^_^)



My sweetheart at Penang (^_^)

December 15, 2010

My Mother & Hari Asyura (^_^) ~

Bismillahi wal hamdulillah...

Tit...Tit...handset berbunyi.. (rentak lagu wonderpet,huhu)

Tertera nama "beluv mom" di skrin handset.Saya pantas menjawab.

"Ude,esok jangan lupa puasa,sunat puasa hari Asyura. Tapi Cik Siah kata puasa dua hari,9 -10 ke, 10-11 Muharram,tak ingat mak,"pesan mak. Oh,itu rupanya tujuan mak telefon saya. Mengingatkan tentang puasa sunat pada hari Asyura. Yang tak pasti tu takpelah,saya boleh cek sendiri(^_^)

Sekilas tentang keutamaan puasa pada Hari Asyura ya!

Diantara keutamaan bulan muharam, bahwa puasa pada hari ‘asyura, dapat menghapus dosa-dosa setahun yang lalu. Imam Muslim meriwayatkan dalam shohihnya, dari Abu Qotadah,

أن رجلاً سأل النبي – صلى الله عليه وسلم – عن صيام يوم عاشوراء فقال: { أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله }.

Seorang laki-laki datang bertanya kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam tentang pahala puasa hari ‘asyura. Maka Rasulullah menjawab: Aku berharap kepada Allah agar menghapus dosa-dosa setahun yang lalu.

Pada akhir hayatnya, Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bertekad untuk tidak berpuasa pada hari ‘asyura saja, tetapi menambahkan dengan puasa sehari lagi, agar menyelisihi puasanya Ahli Kitab. Dalam shahih Muslim, dari Ibnu Abas radiyallahu ‘anhuma berkata:

” حين صام رسول الله – صلى الله عليه وسلم – عاشوراء وأمر بصيامه، قالوا: يا رسول الله إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى “، فقال – صلى الله عليه وسلم -: { فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا التاسع } [أي مع العاشر مخالفةً لأهل الكتاب] قال: ( فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله – صلى الله عليه وسلم – ).


Ketika Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa ‘asyura dan menganjurkan para sahabatnya untuk berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya ini adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, Maka beliau bersabda: Kalau begitu tahun depan Insya Allah kita akan berpuasa (pula) pada hari kesembilan (tasu’a). (yakni, bersamaan dengan puasa ‘asyura, untuk menyelisihi Ahli kitab). Ibnu Abas berkata: belum sampai tahun berikutnya, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam telah wafat.


Jadi,jom kita puasa(^_^)

Back to my beluv mom ya.Antara keistimewaan mak,mak tak pernah lupa mengingatkan tarikh-tarikh penting dalam kalendar islam.Seingat saya,semenjak saya berada di USM,hingga telah bekerja,tinggal di Penang,mak tak pernah lupa telefon untuk mengingatkan. Awal Muharram,nisfu Syaaban,Rejab,dan tarikh- tarikh lainnya.

Jujur,saya bukan orang yang mudah mengingat,tapi Allah anugerahkan mak yang sentiasa mengingatkan,Alhamdulillah(^_^)

Thank You mom!

September 28, 2009


bismillahi walhamdulillah.

Sekadar catatan perkongsian syawal.


pasangan pengantin baru,hehe. My beluv mom and dad


Usai bersalam-salaman di pagi raya, yg masih belajar dapat sedekah dari mak ayah(duit raya). Aku tak tercalon sebab dah kerja,hehe. Alang dan Angah pn bagi sedekah pada Andak dan Aus. Masing-masing bg RM50 dan RM100. Alang bagi duit raya pd mak dan ayah jugak.Angah pn mesti ada bagi sebelum raya untuk buat belanja. Masa tu rasa rendah diri sangat..terasa kecil sangat..tak dapat nak sumbangkan pape pada mak,ayah,andak dan daus buat masa ni. Lagi-lagi Aus dah nak ke Mesir beberapa hari je lagi. Keluar beli barang ngan Aus pn,beberapa sen je yang aku top up,tu pun sebab aus tak ada syiling. Sian Aus,kalo kuar ngan Alang atau Angah,msti tak perlu keluar duit,atau min less. Jadi masa tu terfikir, kalo tak mampu sedekah wang ringgit, aku mungkin mampu sedekah dlm bentuk lain(xtaula bleh dikira sedekah tak). jadi bermulalah agendaku mencuci toilet,membasuh pinggan,melipat kain,apa saja yang termampu aku lakukan. taknak terlepas peluang mendapatkan pahala,huhu. Jadi sedikit sebanyak hilang rasa rendah diri,sebab aku tetap boleh menyumbang,cuma dalam bentuk yang lain-buat sementara waktu ini.



"mak,selamat hari raya,maaf zahir batin.minta maaf banyak-banyak. Tak dapat nak sumbangkan apa-apa,ongkosnya nggak ada," ucapku dalam nada gurauan ketika bersalam dengan emak.


"Nggak apa-apa,yang penting hatinya,"balas emak. Aku tersenyum sendiri,apa maksud emak,entah=)




my beluv big bro n lit bro=)



mak and andak


beluv sis


kado istimewa di malam syawal..

Allahu akbar..Allahu akbar...Allahu akbar..
La Ilaha illallah..huwallahu akbar...
Allahu akbar walillahilhamd..

Terngiang-ngiang takbir raya di malam syawal. Selamat jalan ramadhan, selamat datang syawal,taqabbalallahu minna waminkum..terimalah dari kami amal-amal kami ya Rabb..
Malam syawal yang lepas, aku mendapat satu hadiah yang berharga,sangat berharga,terlalu amat berharga,rasanya tak dapat dinukilkan dengan kata-kata, terima kasih ya Rabb..

Untuk pertama kalinya kami sekeluarga solat isyak berjemaah,pertama kali solat secara berjemaah seramai itu sebenarnya. Ah,seronoknya,segalanya berlaku tanpa dirancang. Selesai azan isyak,aku sekadar bertanya rambang "ada sesiapa yg sudi berjemaah bersama?". Tiada jawapan. Aku langsung mengajak adik lelakiku- Aus- utk jemaah bersama,kebetulan dia belum ke masjid. Cadangnya mahu solat di bilik,tapi hati tiba-tiba terdetik, lantas aku bertanya , "mak nak jemaah sekali?" Mak mengangguk.Ayah yang sedang baring tiba-tiba bangun dan menuju ke bilik air. Keluar bilik air, ayah langsung menyarung kian pelekat dan memakai kopiah. Ayah ingin jemaah bersama,hatiku berbunga riang. Aku memanggil sekali alang dan andak yang berada di bilik - ayah ajak solat jemaah sama- kataku. Andak yang telah selesai solat isyak,ku ajak u solat sekali lagi secara berjemaah. Jadilah solat isyak pada malam itu berimamkan Aus, dengan ayah yang mengumandangkan iqamah. Kami semua yang perempuan di shaf belakang. Indahnya..aku ingin suasana ini berulang, untuk semua solat fardhu seterusnya,amin.. Hanya Angah yang tiada, kerana dia keluar awal tadi.

Mungkin nampak simple dan sepele pada sebahagian orang. Mungkin ada yang berpendapat ;

"Ah,solat berjemaah sekeluarga,biasa saja dilakukan di rumah,tak pernah pula nak post dalam blog"

Biarlah,namun bagiku ia amat istimewa. Teringat jerih payah ditengking suatu ketika dulu,hanya kerana mengejutkan untuk bangun solat,belum lagi bercakap tentang solat jemaah.

Alhamdulillah,Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang menggerakkan hati-hati manusia. Hidupkanlah sentiasa hati-hati kami dengan cahaya makrifatMu yang tidak kunjung malap ya Rabb..